PISTOL dan peluru dirampas daripada suspek kes dadah yang ditahan di Jalan Kuning, Taman Pelangi, Johor Bahru, tengah malam tadi. FOTO ihsan polis.
PISTOL dan peluru dirampas daripada suspek kes dadah yang ditahan di Jalan Kuning, Taman Pelangi, Johor Bahru, tengah malam tadi. FOTO ihsan polis.
Junita Mat Rasid


POLIS menahan seorang lelaki dikehendaki dalam kes berkaitan dadah dan merampas sepucuk pistol jenis Revolver Smith & Wesson berisi empat butir peluru di Jalan Kuning, Taman Pelangi, Johor Bahru, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) menahan sebuah kereta dipandu lelaki berusia 39 tahun dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui pistol berisi peluru disimpan dalam beg dalam papan pemuka kereta terbabit.

“Semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod lampau berkaitan kes rompak dan dadah, selain turut dikehendaki dalam dua kes dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methaphetamine.

Menurutnya, suspek ditahan reman sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8/8A Akta Senjata (Penalti Lebih Berat) yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 9:10 PM