KETUA Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya (dua dari kanan) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, SAC1,  Mohd Nashir Ya (tiga dari kanan) serta Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Md Zukir Md Isa (kanan) menunjukkan senjata yang dirampas dalam Ops Cantas 2, ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Miuda. FOTO Amran Hamid

Omar Osman

Sungai Petani: Polis Kedah menahan seramai 29 lelaki berusia 20 hingga 30-an membabitkan ahli kongsi gelap di negeri ini dalam Ops Cantas Khas 2 bermula sejak 6 Ogos hingga semalam.

Ketua Polis Kedah Datuk Zamri Yahya berkata, mereka terdiri daripada anggota Geng 35, 36, 08 dan 45 dipercayai terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah termasuk pergaduhan, dadah, rusuhan selain kesalahan di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan dalam beberapa siri serbuan di daerah Kuala Muda, Kulim dan Kota Setar.

"Sepanjang operasi berkenaan, polis menahan seramai 741 individu kerana terbabit dalam pelbagai kesalahan termasuk 29 anggota kumpulan kongsi gelap, selain memeriksa sebanyak 841 kereta, motosikal (1,596) dan kenderaan lain (133).

"Polis turut merampas sejumlah 24 senjata tajam seperti pisau, parang, pedang, pisau lipat, kerambit, buku lima, kuku kambing, cota, besi tajam dan sebutir peluru M16 untuk membantu siasatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya dan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa.

Dalam perkembangan lain, katanya, polis kini memburu tujuh lelaki berusia 21 hingga 33 tahun kerana terbabit dalam pergaduhan serta rusuhan di Bandar Puteri Jaya, di sini, sehingga menyebabkan seorang lelaki berusia 32 tahun mengalami kecederaan parah, minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 5:38 PM