RUSHANIENA dan dua adiknya, Ridwana (kiri) dan Rafiq melihat gambar ibu mereka yang maut dalam kemalangan di Griffith, Australia ketika ditemui di rumah ibu saudara mereka di Jalan Sutera Indah, Lunas. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
RUSHANIENA dan dua adiknya, Ridwana (kiri) dan Rafiq melihat gambar ibu mereka yang maut dalam kemalangan di Griffith, Australia ketika ditemui di rumah ibu saudara mereka di Jalan Sutera Indah, Lunas. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: "Arwah ada hubungi saya minggu lalu dan sempat berpesan, kalau apa-apa terjadi kepada dia, tolong jaga tiga anaknya, malah dia berjanji akan pulang selepas cukup lima tahun bekerja di Australia," kata Mukhti Mat Jusoh, 58.

Dia adalah abang ipar kepada Rabitah Hamed, 49, rakyat Malaysia yang meninggal dunia dalam kemalangan di Griffith, Australia, semalam.

Mukhti berkata, Rabitah juga ada memberitahu mahu membawa saya dan isteri yang juga kakak keempatnya, Zarina, 55, untuk menunaikan umrah selepas dia pulang ke tanah air.

Katanya, dia pelik dengan setiap pesanan dan janji arwah namun, enggan terlalu memikirkannya sehinggalah kemalangan itu berlaku.

Menurutnya, Zarina menerima panggilan daripada rakan serumah arwah yang memaklumkan kejadian pada 8 pagi semalam.

"Ketika isteri menelefon saya, dia memaklumkan Rabitah kemalangan tetapi tak beritahu keadaannya, tetapi saya sudah syak mungkin dia (arwah) dah tak ada.

"Saya tahu isteri sembunyikan berita kematian daripada saya kerana bimbang saya terkejut, disebabkan saya mempunyai lemah jantung.

"Kami terima kematiannya dengan hati terbuka walaupun (sedih kerana) kami rapat dengan arwah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Sutera Indah, Lunas di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zarina berkata, arwah adiknya bekerja di sebuah kilang pemprosesan ayam di Australia sejak 21 Februari tahun lalu dan mengirimkan wang kepadanya hampir setiap minggu.

Katanya, anak bongsu arwah, Rafiq Afif Rusman, 14, tinggal bersamanya selepas arwah berpisah dengan bekas suami, manakala anak kedua Rabitah, Ridwana Ardini, 19, tinggal di Padang Serai dan bekerja di kedai runcit.

"Anak sulung arwah (Rushaniena Izani, 26) pula sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, serta kami tinggal berasingan dengan mereka," katanya.

Menurut Zarina, arwah Rabitah seorang adik yang baik dan rajin bekerja untuk menyara anak-anaknya serta kehidupannya, malah dia pernah memberitahu akan bekerja sehingga akhir hayatnya.

"Selalunya dia akan buat panggilan video melalui aplikasi WhatApp seminggu sekali selepas pulang dari kerja dan akan bercerita mengenai keadaannya di sana, dengan siapa dia berkawan dan apa masakan yang rakan serumahnya masak.

"Adakalanya dia juga mengadu selalu diserang gastrik dan saya menyuruhnya ke hospital selain makan ubat," katanya.

Zarina berkata, biasanya Rabitah mengirimkan wang RM100 seminggu untuk keperluannya sekeluarga berikutan Rafiq Afif tinggal dengannya, namun arwah didapati berlainan sejak minggu kebelakangan dan ada WhatsApp tidak dibalas.

"Tak sangka dia nak tinggalkan sesuatu supaya kami ingat padanya dan pergi buat selama-lamanya. Saya harap jenazahnya dapat dibawa pulang untuk dikebumi di sini.

"Dapat tengok muka dia dan jasad pun dah cukup rahmat buat kami," katanya yang berharap ada pihak membantu mereka mengumpul RM50,000 untuk membawa pulang jenazah.

Berita berkaitan

Keluarga harap dapat bawa pulang jenazah Rabitah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 5:02 PM