Oleh Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: "Semalam, anak duduk seharian dengan saya. Dia manja dan peluk saya sebelum ayah saya datang ambil dia kira-kira jam 5 petang.

"Tak lama kemudian, saya dikejutkan dengan berita yang ayah dan anak saya ditemukan lemas di kolam berhampiran restoran itu," kata Zarina Azmi, 34.

Zarina adalah ibu kepada Muhammad Ziyaaf Mikhail Muhammad Yuzarith, setahun tujuh bulan, yang ditemukan lemas bersama datuknya, Azmi Abdullah, 77, di kolam terbiar berhampiran sebuah restoran di Taman Kempas, di sini, semalam.

Kejadian itu disedari bapa kanak-kanak itu, Muhammad Yuzarith Martin Abdullah, 37, selepas mendapati anak tunggalnya serta bapa mentuanya tidak pulang ke rumah jam 7 malam, sebelum keluar mencarinya di kawasan kolam terbiar itu.

Bagaimanapun, luluh hatinya apabila menemui jasad datuk dan cucu itu lemas dan terapung dalam kolam berkenaan.

Menurut Zarina, Muhammad Ziyaaf Mikhail adalah anak tunggalnya dan hampir sembilan tahun menanti kelahirannya.

"Sembilan tahun saya tunggu untuk dapatkan dia," katanya.

Bagaimanapun, dia reda dengan pemergian anak malah turut kehilangan bapanya dalam kejadian itu.

Sementara itu, Yusof Abdullah, 61, adik kepada Azmi berkata, kali terakhir dia bertemu arwah abangnya bulan lalu dan terkejut apabila menerima panggilan yang abangnya meninggal dunia akibat lemas.

Katanya, dia mengetahui perkara itu selepas dihubungi ahli keluarga mereka sebaik solat Maghrib dan terus ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, untuk melihat keadaan mereka.

"Arwah pencen sebagai tukang kebun sekolah dan sejak itu, dia banyak menghabiskan masa di rumah selain bermain dengan cucunya.

"Memang menjadi rutin hariannya membawa cucunya itu meronda pada petang dengan menunggang motosikal memandangkan ibu dan bapa kanak-kanak itu bekerja," katanya ditemui di Jabatan Forensik HSAH, hari ini.

Menurut Yusof, dia difahamkan, kejadian dipercayai berlaku apabila Muhammad Ziyaaf Mikhail turun daripada motosikal dan berlari terus ke arah kolam sebelum terjatuh ke dalam kolam berkenaan.

Katanya, berkemungkinan Azmi cuba menyelamatkan cucunya itu namun dia turut lemas.

"Kalau tengok keadaan kolam itu, airnya tak dalam mana pun tapi mungkin disebabkan licin akibat lumut, arwah tak berdaya nak selamatkan diri.

"Apapun yang berlaku, semuanya sudah suratan takdir dan kami reda dengan apa yang berlaku," katanya.

Menurut Yusof, Azmi mempunyai lima anak serta 10 cucu dan Muhammad Ziyaaf Mikhail serta ibu bapanya tinggal bersama di Kampung Permatang Berangan.

Jenazah Azmi dan Muhammad Ziyaaf Mikhail kemudian dibawa pulang ke rumah mereka di Kampung Matang Berangan, Pinang Tunggal selepas selesai urusan bedah siasat.

Jenazah mereka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Matang Berangan selepas Zohor, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, seorang datuk dan cucunya ditemukan lemas di kolam berhampiran sebuah restoran di Taman Kempas, di sini, malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 3:05 PM
Zarina Azmi (dua dari kiri) ditenangkan ahli keluarga kerana sebak selepas kehilangan anak kesayangannya serta bapa akibat lemas dalam kolam terbiar berhampiran sebuah restoran di Taman Kempas. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zarina Azmi (dua dari kiri) ditenangkan ahli keluarga kerana sebak selepas kehilangan anak kesayangannya serta bapa akibat lemas dalam kolam terbiar berhampiran sebuah restoran di Taman Kempas. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI