Azahar Hashim


JENAZAH aktivis Dr Kassim Ahmad, 84, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kelang Lama, selewat-lewatnya selepas solat Isyak, malam ini.

Anak bongsunya, Ahmad Shauqi, 50, berkata, dia bersama kakak kedua yang tinggal di Australia berada di sisi arwah ketika menghembus nafas terakhir, cuma kakak sulung yang tinggal di Perancis dalam perjalanan pulang.

"Kebetulan kakak yang tinggal di Australia pulang bercuti, jadi sempat dia bertemu dengan arwah.

"Kami semua berdoa agar rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman," katanya.

Aktivis dan tokoh akademik itu meninggal dunia pada 10 pagi, hari ini, di Hospital Kulim selepas koma 36 jam akibat radang paru-paru.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri, Syarifah Fawziah Syed Yussof Al Sagof, 79, dua anak dan saudara mara yang lain.

Ahmad Shauqi berkata, arwah menjalani rawatan di Hospital Kulim pada 16 September.

Katanya, pada 1 Oktober lalu bapanya dibenarkan pulang, namun dimasukkan semula ke hospital selepas empat hari kerana keadaan kesihatannya merosot sedikit.

"Ketika menerima rawatan pada Ahad lalu kesihatan arwah menjadi semakin menurun sehingga koma selama 36 jam dan pagi tadi kira-kira jam 10 pagi arwah sempat menyuruh saya mencuci badannya sebelum menghembuskan nafas terakhirnya dalam keadaan tenang di hadapan kami semua," katanya.

Menurutnya, arwah seorang yang kuat bekerja.

"Arwah ada menulis biografi berkenaan dirinya dan dalam perancangan dilancarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 3:55 PM