Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Peniaga sektor peruncitan yang masih belum dibenarkan beroperasi sepanjang Peintah Kawalan Pergerakan (PKP) diminta bersabar dan menunggu sekiranya ada pengumuman dibuat kerajaan berhubung operasi pembukaan semula sektor berkenaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi peniaga sekiranya mereka dibenarkan beroperasi semula.

"Kerajaan amat prihatin terhadap peniaga sektor peruncitan yang terjejas akibat perniagaan ditutup ketika ini. Banyak implikasi jika sektor ini ditutup dalam tempoh masa lama termasuk pekerja hilang pekerjaan.

"Mungkin akan ada pengumuman yang akan dibuat kerajaan berhubung perkara ini," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di NSK Trade City Jalan Kuchai Lama, di sini, sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2021, hari ini.

Alaxender berkata, sektor peruncitan bukan sektor yang mencetuskan kluster seperti pembinaan dan perkilangan yang mencatatkan jumlah besar kes Covid-19.

"Di kesempatan ini, saya mahu mengingatkan kepada semua supaya terus patuh pada SOP ditetapkan pihak berkuasa seperti penjarakan fizikal dan lain-lain.

"Ini kerana hanya itu sahaja kaedah berkesan bagi kita memerangi Covid-19," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan perbincangan antara KPDNHEP dengan MKN untuk membenarkan sektor perniagaan yang masih belum dibenarkan buka untuk beroperasi semula sedang berjalan.

Alexander dipetik berkata, pihaknya sebolehnya mahu semua sektor perniagaan belum dibuka dibenarkan beroperasi dengan syarat semua pihak bersetuju untuk bekerjasama mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahap yang tinggi.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19

    KEDAI runcit. FOTO Bernama
    KEDAI runcit. FOTO Bernama

  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 8:03 PM