Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Mayat kru kapal rakyat Malaysia yang ditemukan di perairan Chittagong, Bangladesh, semalam dijangka dibawa pulang ke negara ini dalam tempoh dua hingga tiga minggu.

Muhammad Isa Muhammad Veeramohan, 31, dilaporkan terjatuh ke laut ketika memasang 'pilot ladder' kira-kira 9.30 pagi pada Rabu lalu.

Setiausaha Eksekutif Kesatuan Kebangsaan Pelaut-pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM) Ikmal Azam Thanaraj Abdullah berkata, pihaknya sedang berhubung dengan wakil di negara berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

"Wakil syarikat tempat mangsa bekerja dilaporkan sudah berlepas ke Bangladesh, hari ini.

"Setakat ini, keluarga diberitahu proses untuk membawa mayat mangsa pulang ke Malaysia akan mengambil masa antara dua hingga tiga minggu.

"Keluarga yang menetap di Klang, Selangor mengharapkan proses berkenaan dapat dipercepatkan dan mereka dalam keadaan bersedih ketika ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya sedang menunggu maklum balas daripada pihak syarikat dan rakan mangsa di Bangladesh untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, seorang wanita dipercayai adik mangsa menerusi laman sosial TikTok memberitahu mayat abangnya sudah ditemukan, semalam.

"Arwah abang sudah ditemui, minta semua sedekahkan Al-Fatihah dan doa semoga urusan membawa pulang jenazah dari Bangladesh ke Malaysia dipermudahkan," tulisnya.

Dia turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan abangnya ditemui semula.

Terdahulu, media melaporkan mayat kru kapal yang dilaporkan terjatuh ke laut ketika memasang 'pilot ladder' di perairan Chittagong, Bangladesh ditemukan pasukan penyelamat, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 5:16 PM