DR Ismail  (tengah) bersama Pengarah Eksekutif MAHO, Shaharuddin M Saaid (dua dari kiri) menunjukkan dokumen Aku Janji Tiada Polisi Larangan Pekerja Wanita Bertudung, semalam.
DR Ismail (tengah) bersama Pengarah Eksekutif MAHO, Shaharuddin M Saaid (dua dari kiri) menunjukkan dokumen Aku Janji Tiada Polisi Larangan Pekerja Wanita Bertudung, semalam.
Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Tiga persatuan utama industri perhotelan menandatangani aku janji dengan Kementerian Sumber Manusia untuk tidak menetapkan sebarang polisi yang melarang pekerja wanita beragama Islam memakai tudung.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib berkata, persatuan itu adalah Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MYBHA).

Menurutnya, ketiga-tiga persatuan itu mewakili lebih 3,000 hotel yang beroperasi di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kementerian berbesar hati dengan kesungguhan persatuan itu menyelesaikan isu ini untuk memastikan hak pekerja tidak didiskriminasikan seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Melalui aku janji ini, kita berharap setiap hotel mematuhi perkara yang dipersetujui dan isu larangan bertudung ini tidak lagi timbul,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Sesi Menandatangani Aku Janji Tiada Polisi Larangan Pekerja Wanita Bertudung di Sektor Perhotelan antara Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dengan MAH, MAHO dan MYBHA di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 5:47 AM