Chef Hotel Royal Penang memegang papan tanda harga makanan yang dijual secara pandu lalu di hotel berkenaan, di Jalan Larut, di sini, yang menjadi inisiatif hotel empat bintang itu bagi menjana pendapatan dan menampung kos operasi hotel yang terkesan akibat pandemik Covid-19. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Chef Hotel Royal Penang memegang papan tanda harga makanan yang dijual secara pandu lalu di hotel berkenaan, di Jalan Larut, di sini, yang menjadi inisiatif hotel empat bintang itu bagi menjana pendapatan dan menampung kos operasi hotel yang terkesan akibat pandemik Covid-19. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Industri perhotelan dan pelancongan antara paling terkesan sepanjang pandemik Covid-19 dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Justeru, beberapa hotel di negeri ini turut mengambil pendekatan menjana pendapatan sampingan dengan membuat jualan makanan termasuk secara pandu lalu bagi menampung kos operasi.

Pengurus Besar Hotel Royal Penang Amran Taib berkata, pihaknya mengambil inisiatif menjual makanan secara pandu lalu di perkarangan hotel bagi menjana pendapatan.

Katanya, dimulakan sejak 13 Januari lalu, hidangan yang dimasak cef hotel empat bintang itu dijual pada harga serendah RM2 hingga RM3.

"Inisiatif ini bukan sahaja diambil bagi menampung kos operasi, tetapi pada masa sama turut membayar gaji seramai 110 pekerja termasuk 16 cef.

"Menu yang dijual pula pada harga rendah serta mendapat maklum balas positif daripada pelanggan," katanya ketika ditemui di Jalan Larut, di sini, hari ini.

Antara menu yang dijual ialah pelbagai kuih-muih, kuetiau goreng, mi goreng, sandwich, bihun goreng serta teh tarik dan hidangan 'signature', nasi lemak bermula 7.30 pagi hingga 10 pagi setiap hari.

Menurut Amran, selain menerima tempahan katering, pihaknya turut membuka gerai jualan di Kompleks Plaza Penang dengan menjual hidangan nasi campur, nasi tomato dan nasi minyak.

Katanya, pengurusan hotel juga terharu dengan inisiatif orang ramai yang menyumbangkan wang bagi membeli makanan di situ bagi diedarkan kepada golongan memerlukan.

"Kami hargai sokongan yang diberikan dan pada masa sama, golongan terbabit tidak dipinggirkan ketika menghadapi tempoh ini," katanya lagi.

Sementara itu, penyelia syarikat swasta, Ashraf Hasim, 27, berkata menu dan harga makanan yang ditawarkan amat berpatutan.

"Umum mengetahui bahawa harga makanan di hotel sebelum ini agak mahal, dan kali ini orang ramai berpeluang merasai hidangan dari dapur hotel dengan harga rendah," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang Raj Kumar berkata, industri perhotelan secara keseluruhan terjejas teruk apabila kadar penginapan hanya mencatat satu digit sejak awal PKP 2.0.

Katanya, bukan sahaja terkesan, malah banyak hotel turut gulung tikar manakala sebahagian lagi sedang menanti masa bagi bertahan.

"Kita jangka prospek ekonomi global akan tetap lemah dalam waktu terdekat berikutan ketidakpastian dan risiko gelombang baru Covid-19 yang berterusan selain dilihat semakin malap.

"Pakej rangsangan khusus bagi industri pelancongan dan perhotelan pada ketika ini amat diperlukan untuk mempertahankan kesinambungannya," katanya menerusi kenyataan, di sini.

Difahamkan, sebanyak sembilan hotel terkemuka di negeri ini sudah ditutup sepenuhnya berikutan tidak dapat menampung kos operasi manakala 21 lagi ditutup sementara waktu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 5:15 PM