FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Amir Mamat


PERSATUAN Hotel Malaysia (MAH) Melaka memohon kerajaan negeri mempertimbangkan pengecualian kos cukai termasuk caj warisan dan cukai pelancongan bagi melindungi pemilik dan pengendali hotel daripada terjejas akibat Covid-19.

Presidennya, Khairulnizam Kasim berkata, permohonan itu sebagai langkah memastikan tiada pekerja terjejas sumber pendapatan atau dibuang kerja.

Beliau berkata, permohonan berhubung perkara berkenaan sudah dibuat sejak beberapa minggu lalu dan kini pihaknya menunggu maklum balas daripada kerajaan negeri.

"Jika pengecualian itu diluluskan, ia mampu memberi manfaat kepada 76 hotel bertaraf tiga bintang dan ke atas membabitkan penjimatan sekitar RM26,000 hingga RM80,000 dalam tempoh enam bulan.

"Kami mohon supaya kerajaan negeri pertimbangkan permohonan ini. Mungkin dalam situasi Covid-19 ini, sektor perhotelan tiada urus niaga, tiada orang datang.

"Yang hendak buat tempahan baharu pun kita tidak boleh terima, jadi sumber pendapatan kita tak ada," katanya.

Kelmarin, Hotel Ramada Plaza di Bandaraya Melaka menjadi hotel pertama di negeri ini yang mengumumkan pemberhentian operasi susulan impak Covid-19.

Menerusi kenyataan dikeluarkan pihak pengurusan syarikat itu, langkah itu terpaksa diambil ekoran pandemik Covid-19 yang berterusan sejak Januari lalu, disusuli pula dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu menyebabkan industri perhotelan mengalami kemerosoton mendadak.

Difahamkan, seramai 300 pekerja akan diberikan notis dua bulan awal sebelum hotel terbabit menamatkan operasi pada 30 Jun ini.

Mengulas lanjut, Khairulnizam berkata, beliau tidak menolak kemungkinan beberapa lagi hotel termasuk bertaraf lima bintang di negeri ini akan mengambil langkah sama.

Justeru, beliau menyarankan pengusaha hotel untuk 'membuka pintu' kepada kerajaan menggunakan fasiliti sebagai lokasi pusat kuarantin, sekali gus membantu menjana pendapatan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 9:03 PM