HAZIZ (berdiri) ketika meraikan 400 pekerja hotel di Majlis Makan Malam Tahunan MAH NS Chapter di Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
HAZIZ (berdiri) ketika meraikan 400 pekerja hotel di Majlis Makan Malam Tahunan MAH NS Chapter di Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Nasib golongan ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) tidak pernah dilupakan apabila Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan bersedia menerima golongan itu bekerja dalam sektor berkenaan.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan Haziz Hassan berkata, sebanyak 34 ahli persatuan hotel Negeri Sembilan terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau agensi untuk menolong golongan itu mendapatkan pekerjaan.

"Kami sentiasa mengalu-alukan golongan ini untuk bekerja dalam sektor perhotelan. Bagi golongan OKU, kami akan tempatkan di bahagian bersesuaian serta tidak berbahaya.

"Sehingga kini, kerjasama itu sudah pun diadakan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Sembilan (AADK). Selepas ini, kami akan mengadakan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan membabitkan pengkhususan kepada bahagian Pendidikan Khas," katanya pada Majlis Makan Malam Tahunan MAH NS Chapter di sini, semalam.

Seramai 400 pekerja hotel diraikan dalam majlis makan malam itu dengan pengisian program bertemakan Glitz and Glam.

Haziz berkata, individu, NGO atau agensi yang berminat untuk menjalin kerjasama bagi mendapatkan pekerjaan boleh berhubung dengan MAH Negeri Sembilan.

Sebelum ini, Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Shaharuddin M Saaid dilaporkan berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan untuk menggaji kumpulan itu serta bekas banduan dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk mengisi kekosongan di bahagian restoran dan pembersihan.

Shaharuddin turut menjelaskan pelbagai usaha dilakukan pihaknya untuk mendapatkan tenaga baharu selepas sektor itu dibenarkan beroperasi pada fasa peralihan ke endemik.

Tambah beliau, sebanyak 30,000 pekerja bagi pelbagai jawatan masih diperlukan bagi merancakkan industri perhotelan selepas kerajaan melonggarkan pelbagai syarat termasuk pembukaan semula pintu sempadan pada 1 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 5:26 PM