ANGGOTA polis menjalankan pemeriksaan di rumah yang dijadikan tempat operasi sindiket perjudian. FOTO ihsan polis
ANGGOTA polis menjalankan pemeriksaan di rumah yang dijadikan tempat operasi sindiket perjudian. FOTO ihsan polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis melumpuhkan sindiket perjudian dalam talian yang beroperasi di rumah teres di Jenjarom, Kuala Langat, semalam.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, hasil serbuan turut membawa kepada rampasan wang tunai RM453,450 dan dua keping cek bernilai RM200,000.

"Siasatan dan risikan kita mendapati sindiket ini menggunakan aplikasi laman sesawang utama 'ongmari77.com' bagi menawarkan perjudian secara dalam talian kepada pelanggan menerusi cara promosi, menguruskan dan pembayaran kepada pelanggan yang menang.

"Selain itu sindiket turut menawarkan kepada pelanggan memuat naik aplikasi permainan berunsurkan perjudian dan aktiviti tambah nilai bagi tujuan judi bagi laman perjudian 918Kiss, XE88, Mega888, Joker&Luckt Palace dan lain-lain," katanya.

SENIOR Asisten Komisioner Azmi Adam. FOTO ihsan polis
SENIOR Asisten Komisioner Azmi Adam. FOTO ihsan polis

Azmi berkata, pihaknya turut menahan dua wanita dan seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai penjaga dan operator khidmat panggilan berusia antara 20 hingga 31 tahun.

"Selain wang tunai dan cek, polis merampas enam telefon bimbit, dua modem, satu unit router, 11 kad sim, dua komputer riba, kertas jadual waktu bekerja dan sebuah Mercedez Benz.

"Siasatan mendapati sindiket ini menggajikan warga tempatan dengan gaji antara RM2,700 hingga RM3,000 sebagai operator panggilan. Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a), Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 9:37 PM