AZMI (tengah) mendengar taklimat daripada Mohamad Zainal (kiri) ketika melihat sebahagian wang tunai yang dirampas. FOTO  Mohd Yusni Ariffin
AZMI (tengah) mendengar taklimat daripada Mohamad Zainal (kiri) ketika melihat sebahagian wang tunai yang dirampas. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seorang lelaki bergelar Datuk Seri antara 19 individu yang ditahan selepas dipercayai terbabit dengan sindiket judi dalam talian dan mesin slot menerusi beberapa siri serbuan di sekitar ibu kota antara 17 hingga 20 Mei lalu.

Suspek berusia 55 tahun itu ditahan dalam serbuan di kediamannya di Bukit Segar, Cheras, pada 20 Mei lalu yang membawa kepada rampasan wang tunai berjumlah RM579,001, tiga jam tangan berjenama, tiga jongkong emas dan loket serta tiga kenderaan mewah dianggarkan bernilai RM2.1 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya menahan 10 individu tempatan termasuk seorang wanita, lima lelaki warga Myanmar dan tiga lelaki Bangladesh berusia antara 17 hingga 71 tahun selain Datuk Seri berkenaan dalam serbuan itu.

"Dalam serbuan itu kami turut menyita pelbagai barangan termasuk 16 alat kawalan perjudian, empat set komputer, dua projektor, satu modem, dua kotak perisian perjudian, dua kotak pengisian kredit, dua cip kredit perjudian serta wang tunai berjumlah RM10,123 di sebuah premis di Jalan Pudu.

"Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menarik pelanggan dengan mengubah suai mesin slot bagi membolehkan paparan pada mesin berkenaan dipaparkan melalui skrin projektor.

"Tindakan itu dipercayai bertujuan bagi menambah keseronokan pemain judi selain menarik lebih ramai pelanggan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah.

Azmi berkata, sindiket berkenaan juga menjalankan aktiviti perjudian dalam talian selain permainan judi mesin slot.

"Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan aktif melakukan kegiatan itu sejak Januari lalu dengan mengaut keuntungan antara RM10,000 hingga RM30,000 sehari bergantung kepada sambutan pelanggan.

"Semua suspek masih dalam tahanan reman mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001, Seksyen 4 (1) (c) dan Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 2:47 PM