PEGAWAI Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menyoal dua lelaki yang terbabit dalam kegiatan sindiket judi dalam talian selepas menyerbu sebuah rumah di Taman Petani Jaya, Sungai Petani. FOTO Omar Osman
PEGAWAI Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menyoal dua lelaki yang terbabit dalam kegiatan sindiket judi dalam talian selepas menyerbu sebuah rumah di Taman Petani Jaya, Sungai Petani. FOTO Omar Osman
Omar Osman


TERTARIK dengan upah RM1,500 sebulan menyebabkan remaja perempuan berusia 16 tahun dan tiga remaja lelaki berusia 18 tahun sanggup bekerja dengan sindiket judi dalam talian sebagai operator judi di sebuah rumah di Taman Petani Jaya, Sungai Petani, sejak Oktober lalu.

Kegiatan mereka itu terbongkar selepas Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menyerbu rumah itu dan menahan enam individu berusia 16 hingga 21 tahun termasuk remaja terbabit, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al-Athrash Wahid berkata, pihaknya melakukan serbuan itu dalam Op Dadu dan Op Judi Online (JOL), pada 7.45 malam selepas menerima maklumat berhubung kegiatan sindiket itu.

Menurutnya, hasil serbuan itu, pihaknya merampas tujuh unit set komputer, komputer riba, 17 telefon bimbit, dua mesin pengira, enam buku, 16 sim kad, dua modem, dan kertas catatan urusan perjudian dalam talian.

"Remaja perempuan dan lima lelaki yang ditahan ini bekerja sebagai operator judi dengan sindiket terbabit yang beroperasi sejak Oktober lalu.

"Waktu operasi adalah 10 pagi hingga 12 tengah malam menggunakan WhatsApp dan WeChat," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mior Farid berkata, siasatan mendapati pekerja terbabit menerima upah RM1,500 sebulan manakala pendapatan diperoleh sindiket terbabit paling minimum RM3,000 sehari.

"Setiap RM10 yang dibeli pelanggan bersamaan 10 mata malah akan menerima hadiah percuma RM3 jika membeli RM30.

"Siasatan juga mendapati mereka yang ditahan tidak memiliki rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 3:19 PM