Izlaily Nurul Ain Hussein


BUKA laman sembang sosial, cari pelanggan untuk berkenalan dan tarik perhatian mereka menggunakan skrip yang diberi sebelum mempromosikan permainan judi dalam talian.

Itu taktik dilakukan sindiket membabitkan kumpulan perjudian dalam talian yang berpangkalan di China, namun menjalankan operasi mereka di negara ini sejak hampir sebulan lalu.

Kegiatan mereka terbongkar selepas markas di tingkat 18 bangunan 25 tingkat di Jalan Tebrau di Johor Bahru, di serbu malam tadi.

Ketika diserbu, seramai 123 warga China yang berperanan sebagai operator perjudian sedang asyik menjalankan tugas mereka sebelum tumpas di tangan polis.

Hasil siasatan, setiap seorang dibekalkan dengan sebuah komputer riba, dua atau tiga telefon bimbit, satu buku nota lengkap mengandungi ‘skrip lakonan’ berserta makanan ringan untuk mereka melaksanakan kerja mereka sepanjang lapan jam bagi setiap shif.

Turut terdapat kain alas yang mungkin dijadikan tempat tidur untuk mereka berehat sebentar ketika bertugas.

Selama 24 jam dengan tiga waktu shif pertukaran, kumpulan ini tidak akan berhenti mencari pelanggan mereka yang semuanya di China.

Buku catatan yang dibekalkan kepada setiap daripada mereka lengkap diisi dengan cara yang diajar ketua mereka untuk menarik perhatian pelanggan, malah skrip digunakan semuanya sama.

Ketika ditahan di lokasi yang dijadikan pusat panggilan kumpulan itu, mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan disyaki mendapat bayaran kira-kira 5000 Chinese Yuen iaitu kira-kira RM3,000 sebulan.

Pegawai Turus Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Deputi Superintendan Mohd Zairi Badderul berkata, dalam operasi bermula 10.10 malam tadi, seramai 109 lelaki dan 14 wanita berumur antara 16 hingga 47 tahun itu ditahan.

Beliau berkata, mereka ditahan kerana disyaki bekerja sebagai operator perjudian yang berperanan menarik pelanggan untuk bermain judi dalam talian jenis Lucky 28 di negara China.

“Hasil serbuan, kita merampas barang kes yang terbabit dalam aktiviti ini iaitu 118 komputer riba, 287 telefon bimbit pelbagai jenama, 77 buku catatan, dua WiFi dan dua peranti TP Link.

“Modus operandi kumpulan ini adalah dengan menggunakan operator yang ditahan ini untuk mencari kenalan masyarakat di China bagi tujuan mempromosikan perjudian mereka melalui beberapa laman web iaitu d.kingdou.cn, www.pcdd.in serta www28t.com,” katanya ketika ditemui dalam serbuan itu, awal pagi ini.

Menurut beliau, hasil siasatan awal, pelanggan yang bermain permainan judi dengan kumpulan itu boleh mempertaruhkan wang serendah RM1 sehingga seberapa banyak nilai taruhan yang diinginkan.

Semua urusniaga tidak dijalankan menggunakan wang tunai, sebaliknya secara dalam talian dengan aplikasi laman sembang yang digunakan.

Katanya, semua suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kita percaya masih terdapat lebih 200 individu yang berperanan seperti suspek ini memandangkan terdapat dua lagi shif waktu kerja yang mana setiap shif antara 120 hingga 130 operator bertugas.

“Kita juga masih mengesan dalang utama kumpulan ini,” katanya.

Serbuan disertai tujuh pegawai dan 22 anggota dari JSJ Johor itu tamat kira-kira 2 pagi tadi dan dipercayai satu tangkapan terbesar setakat ini di negeri ini membabitkan aktiviti perjudian dalam talian.

Mohd Zairi berkata, Polis Johor akan terus membuat pemantauan, serbuan dan pemeriksaan secara berterusan bagi tujuan membanteras dan membendung segala gejala yang tidak sihat yang boleh menggugat ketenteraman awam negeri ini khasnya dan keharmonian masyarakat setempat amnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 11:29 AM
SEBAHAGIAN daripada 123 warga China yang berperanan sebagai operator perjudian sedang asyik menjalankan tugas mereka ditahan polis  Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. FOTO Izlaily Nurul Ain Husein
SEBAHAGIAN daripada 123 warga China yang berperanan sebagai operator perjudian sedang asyik menjalankan tugas mereka ditahan polis Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. FOTO Izlaily Nurul Ain Husein