Roshayu Nordin, 29 menunjukkanubat kemoterapi.
Roshayu Nordin, 29 menunjukkanubat kemoterapi.
Nurul Fatihah Sulaini


Jertih: "Saya buntu apabila perlu mencari sumber kewangan banyak setiap bulan untuk menampung kos ubatan kemoterapi RM4,500 serta keperluan harian," kata Roshayu Nordin.

Roshayu, 29, yang mesra dipanggil Ayu tinggal di penempatan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Gong Manok, Kuala Besut dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM200.

Menurutnya, pada peringkat awal sebelum disahkan menghidap penyakit kanser jenis 'Hodgkin Lymphoma' tahap empat, dia hanya mengalami demam biasa dan bengkak di bahu kiri.

Katanya, keluarganya membawanya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan dan dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian sebelum disahkan mengidap kanser itu pada Oktober 2014.

"Sebelum ini, saya pernah bekerja sebagai pembantu kantin beberapa sekolah sebelum terpaksa berhenti awal tahun lalu kerana tahap kesihatan semakin merosot.

"Saya tidak boleh bergerak aktif kerana cepat penat dan bengkak di badan, muka dan leher semakin membesar sehingga sukar untuk melakukan kerja harian.

"Setelah disahkan mengidap kanser saya sudah berpuluh kali menjalani sesi kemoterapi dan sejak bulan lalu diminta mengambil ubat untuk rawatan kombinasi ubat kemoterapi," kata anak keenam daripada tujuh beradik itu.

Menurutnya, doktor menyarankan dia mengambil rawatan mencecah RM10,000 satu kitaran, tetapi dia memilih menggunakan ubat berharga RM4,500 dengan kebenaran doktor.

Katanya, dia disarankan menghabiskan enam kitaran ubat kerana ujian CT Scan pada November tahun lalu mendapati masih terdapat saki baki kanser itu pada badannya.

Sementara itu, ayahnya, Nordin Ibrahim, 60, berkata, dia hanya bekerja sebagai nelayan, tetapi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia sudah lama tidak turun ke laut.

"Kami tinggal di sini empat beranak selepas isteri meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan pada 2015.

"Anak bongsu tidak dapat bekerja kerana sering menemani Ayu menjalani rawatan di hospital tambahan pula dengan PKP sukar untuk mencari pekerjaan.

"Kos rawatan Ayu sangat tinggi dan kami tidak mampu untuk menanggung kos itu dan amat berterima kasih kepada pihak prihatin menghulurkan bantuan kepada kami sekeluarga," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Ayu di talian 0172455629 atau terus ke akaun Bank Simpanan Nasional atas nama Roshayu Nordin 1111841000113428.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 6:30 PM