Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Seremban: Seorang mekanik hari ini terpaksa meringkuk di penjara selepas gagal membayar wang jaminan berjumlah RM11,500 yang ditetapkan Mahkamah Majistret di sini atas empat pertuduhan menipu projek tukar karpet serta lelongan kereta yang tidak wujud membabitkan kerugian RM17,500.

Tertuduh, Hairi Kasman, 40, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Mahyun Yusof.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa memperdaya seorang kontraktor untuk membuat pembayaran masing-masing sebanyak RM5,000 dan RM2,000 secara transaksi dalam talian yang dimasukkan ke akaun bank seorang wanita bagi projek penyelenggaraan apartmen di Putrajaya.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Hairi dituduh menipu individu sama untuk membuat transaksi RM7,500 melalui akaun banknya bagi tujuan pembelian kereta lelongan Polis Diraja Malaysia.

Tertuduh turut didakwa menipu individu berkenaan untuk membuat pembayaran ke akaun bank pihak ketiga berjumlah RM3,000 bagi projek tukar karpet dan langsir Istana Seri Menanti.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di tiga lokasi iaitu di A&W Seremban, Acacia Seremban dan Oakland Business Centre Seremban antara 7 September hingga 21 September tahun lalu.

Semua pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L.Ratnaa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan lelaki itu diikat jamin berjumlah RM11,500 bagi semua pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 10 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 9:02 PM