Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini didakwa atas tiga pertuduhan menipu berkaitan pelaburan wang Bancus Coint berjumlah RM12,867.30 tahun lalu.

Tertuduh, Chai Koon Shong, 44, dan isterinya, Ng Kah Lai, 46, tidak mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh, didakwa memperdayakan Hoi Kim Tan, 58, untuk mempercayai dapat memberikan pulangan pelaburan Bancus Coint yang tinggi dengan mendorong untuk memasukkan wang berjumlah RM4,366.50 ke dalam akaun bank atas nama syarikat milik mereka.

Tertuduh melakukan kesalahan berkenaan di RHB Bank Cawangan Menglembu pada 1.45 petang, 4 November 2019.

SEPASANG suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
SEPASANG suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

Kedua-dua tertuduh juga didakwa atas dua tuduhan sama iaitu menipu Leong Mei Lai, 44, membabitkan wang masing-masing berjumlah RM5,000 dan RM3,500.80 di Public Bank Cawangan Jalan Besar Pasir Puteh antara 1.34 hingga 1.48 petang pada 1 Mei 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Siti Hajar Mohd Yusof dan tertuduh diwakili peguam bela M Mahendra.

Terdahulu, Siti Hajar menawarkan RM9,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM4,000 dan menetapkan 11 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 1:09 PM