Timbalan Ketua Setiausaha (Pasaran Domestik) KPDNHEP Dr Alauddin Sidal (tiga, kiri) dan Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman (dua, kiri) ketika membuat lawatan ke kilang pembuatan topeng muka di Meru Klang, hari ini. Foto Bernama.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pasaran Domestik) KPDNHEP Dr Alauddin Sidal (tiga, kiri) dan Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman (dua, kiri) ketika membuat lawatan ke kilang pembuatan topeng muka di Meru Klang, hari ini. Foto Bernama.
Amirul Aiman Hamsuddin

KOMPAUN sebanyak RM21,700 dikenakan terhadap sembilan peniaga susulan operasi pemeriksaan penjualan penutup mulut dan hidung dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bermula 25 Januari lalu.

Timbalan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Dr Alauddin Sidal berkata, operasi dijalankan susulan 31 aduan diterima daripada orang ramai.

"Untuk makluman, sebanyak 1,314 premis di seluruh negara sudah diperiksa. Daripada jumlah itu, kami mengambil tindakan terhadap sembilan premis dan merampas topeng muka bernilai RM 3,475.50.

"Malah, kami turut mengeluarkan kompaun bernilai RM 21,700 di mana sembilan kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011)," katanya selepas membuat lawatan di kilang pembuatan topeng muka Cross Protection (M) di Jalan Meru, Klang, Selangor, hari ini.

Turut hadir bersama, Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman.

Alauddin berkata, antara kesalahan yang dikesan pada premis terbabit adalah menjual penutup mulut dan hidung pada harga tidak munasabah.

Mengulas berkaitan lawatan itu, beliau berkata, tujuannya adalah bagi berbincang dan memahami lebih dekat proses pengeluaran serta kapasiti topeng muka dihasilkan susulan aduan diterima pihaknya berhubung kekurangan barangan itu.

"Hasil perbincangan mendapati syarikat ini (Cross Protection) berpotensi mengeluarkan 400,000 topeng muka sehari dan akan menambah 100,000 lagi bagi kegunaan masyarakat.

"Masyarakat dinasihatkan tidak bimbang kerana kerajaan sentiasa memastikan bekalan topeng muka mencukupi," katanya.

Sementara itu, Iskandar Halim berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan pembelian topeng muka secara banyak dan dijual secara online oleh individu tidak bertanggungjawab.

"Kita akan siasat dakwaan itu. Sekiranya dikesan, tindakan tegas bakal menanti pelaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 4:01 PM