ZULKIFLI (tengah) mendengar penerangan Pengerusi Masjid Taman Bandar Senawang mengenai pembinaan dewan masjid. FOTO Mohd Amin Jalil
ZULKIFLI (tengah) mendengar penerangan Pengerusi Masjid Taman Bandar Senawang mengenai pembinaan dewan masjid. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan akan meneliti bantuan yang sesuai untuk disalurkan kepada keluarga murid kurang berkemampuan bagi membantu mengatasi masalah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, pihaknya akan melihat perkara itu secara berfasa supaya bantuan dapat diberikan kepada kumpulan sasar seperti mana diberikan kepada mangsa banjir.

"Rancangan (membantu murid keluarga kurang mampu) yang berhadapan masalah PdPR memang ada, namun kita lihat secara berfasa kerana ia membabitkan beberapa perkara seperti alat peranti dan Wifi.

"Saya juga sudah mendengar pandangan daripada beberapa tokoh pendidik termasuk mantan Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Ainuddin (Wahid) mengenai perkara ini.

"Perkara yang baharu dimulakan atau dilaksanakan sememangnya akan ada kelemahan namun saya yakin dan percaya ianya akan dapat diatasi dari semasa ke semasa," katanya selepas menyampaikan sumbangan beg sekolah dan kipas angin kepada dua sekolah serta melawat projek pembinaan dewan Masjid Taman Bandar Senawang di sini, malam ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani.

Beliau diminta mengulas mengenai isu pelaksanaan PdPR yang dihadapi sebahagian besar murid terutama dari keluarga berpendapatan rendah kerana ketidakupayaan mereka menyediakan alat peranti.

Zulkifli berkata, program bantuan yang dilaksanakan agensi agama di bawah jabatan itu adalah menyeluruh.

Beliau berkata, sejak Mac tahun lalu sehingga hari ini, pihaknya sudah mengagihkan sumbangan misi Musaadah Covid-19 berjumlah RM360 juta melalui agensi agama bawah jabatan itu.

"Hari ini saja kita menyalurkan bantuan mangsa banjir cecah RM200,000. Fokus kita adalah memastikan semua pihak dan golongan berkaitan menerima bantuan dan dalam perkara ini (PdPR) insya-Allah, kita akan lihat," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan program bantuan itu bukan saja membabitkan kerjasama dan sokongan pihak berkuasa agama negeri, tetapi kolaborasi dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak swasta.

Menurutnya, semua agensi akan terus mengukuhkan kerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri dalam memberikan khidmat terbaik untuk membantu golongan memerlukan.

"Kami berkolaborasi bersama termasuk dengan sokongan syarikat korporat serta NGO yang begitu menggalakkan dalam menyumbang kepada usaha murni ini dan membantu asnaf," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 9:36 PM