FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Izwan Abdullah


Keningau: Menyedari ramai ibu bapa di luar bandar berdepan masalah peranti untuk mengikuti kelas secara dalam talian, ada sekolah mengambil inisiatif memanjangkan tempoh pengajaran guru.

Di Sekolah Kebangsaan (SK) Bunga Raya, kira-kira 15 kilometer dari sini, semua guru sekolah itu mengajar dari pagi hingga ke petang berbanding setengah hari tempoh pengajaran biasa.

Guru Besarnya, Dr Pranchis Andin berkata, pendekatan itu bagi memastikan murid yang bergantung dengan satu telefon bimbit ibu bapa boleh bergilir menggunakannya untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajarani di Rumah (PdPR) secara dalam talian.

Katanya, pendekatan itu dilaksanakan bagi memudahkan keluarga yang memiliki dua atau lebih anak yang bersekolah di SK Bunga Raya menggilirkan penggunaan peranti.

"Kalau semua kelas secara dalam talian dilaksanakan mengikut waktu biasa, iaitu sepanjang pagi hingga tengah hari, semua kelas akan bertembung, jadi keluarga yang ada anak di kelas berlainan sudah tentu berdepan masalah menggunakan satu peranti.

"Jadi, kita mengambil inisiatif meminta guru menyediakan jadual waktu PdPR yang berbeza, iaitu ada pagi, tengah hari dan petang. Melalui cara ini, pertembungan kelas dalam talian dapat diatasi," katanya ketika dihubungi, di sini.

Katanya, pihak sekolah memahami kekangan dihadapi ibu bapa luar bandar yang kebanyakannya tidak memiliki peranti untuk setiap anak mengikuti PdPR secara dalam talian.

Bagaimanapun, katanya PdPR secara dalam talian di kawasan berkenaan sering terganggu berikutan liputan internet yang kurang stabil dan terputus jika berlaku gangguan bekalan elektrik.

Ketika ini, katanya 60 peratus daripada 354 murid di sekolah itu mengikuti PdPR secara dalam talian, manakala selebihnya menggunakan modul bercetak yang diambil di sekolah seminggu sekali.

"Selain PdPR secara dalam talian, kita juga menyediakan kaedah modul bercetak yang diambil dan dikembalikan seminggu sekali oleh ibu bapa murid di pondok pengawal sekolah.

"Kebanyakan modul ini digunakan oleh murid yang tinggal jauh dari sekolah iaitu di kawasan yang tiada liputan internet. Mereka sebelum ini tinggal di asrama sekolah tetapi memandangkan belum dibenarkan kembali ke asrama, mereka juga terpaksa mengikuti PdPR," katanya.

Selain itu, katanya pihak sekolah sebelum ini juga pernah menggunakan pendekatan menyerahkan sendiri bahan pembelajaran bercetak terus ke kampung atau rumah murid yang tinggal jauh dari sekolah.

Bagaimanapun, katanya pendekatan itu dihentikan sementara ketika ini bagi mengelak penularan Covid-19 berikutan ada kes positif dilaporkan membabitkan keluarga murid sekolah berkenaan.

Semalam, kerajaan negeri meminta Jabatan Pendidikan negeri melaksanakan semula pendekatan PdPR menggunakan modul bercetak bagi mengatasi masalah ibu bapa yang tiada peranti.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah yang juga jurucakap Covid-19 negeri, Datuk Masidi Manjun, pada sidang medianya malam tadi menyatakan pendekatan itu perlu disegerakan bagi memastikan tiada murid atau pelajar di negeri ini tercicir sepanjang pelaksanaan PdPR.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 5:19 PM