DATUK Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. FOTO arkib NSTP
DATUK Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Modul dan prosedur operasi standard (SOP) pengajaran dan pembelajaran (PdP) guru takmir akan dikemas kini bersesuaian dengan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

"Modul kelas pengajian takmir, SOP kelas pengajian takmir secara dalam talian dan lain-lain akan dimurnikan agar ia selari dengan isu-isu semasa masyarakat hari ini," katanya ketika merasmikan Konvensyen Murabbi Ummah Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 secara dalam talian hari ini.

Pada konvensyen itu, Zulkifli menggesa Murabbi Ummah iaitu para imam, guru takmir dan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta pendakwah supaya memperkasakan ilmu pengetahuan dan kemahiran berdakwah melalui media baharu secara optimum dalam era pandemik Covid-19.

"Kita tidak boleh kerap memberikan alasan bahawa sejak dilaksanakan kawalan pergerakan, proses pembelajaran dan pengajaran terpaksa ditangguhkan atau dihentikan. Masyarakat perlu terus dididik dan dibimbing walau dalam keadaan apa cara sekalipun," katanya.

Bagi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) KAFA pula, beliau berkata, PdPR boleh dilaksanakan secara dalam talian mengikut jadual yang ditetapkan berdasarkan kesesuaian antara guru dan murid.

Beliau berkata, pelaksanaan rancangan KAFA D'Hijrah, hasil kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan TV Alhijrah, merupakan satu inisiatif bagi membantu murid KAFA menjalani pembelajaran di rumah.

"Saya berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama serta ruang kepada guru KAFA meneruskan usaha menyampaikan ilmu ini kepada murid dalam situasi yang serba sukar kini. Mudah-mudahan segala pengorbanan, keprihatinan dan komitmen guru-guru ini akan melahirkan generasi yang terdidik pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata, kerajaan akan memperhalusi semula kuota guru takmir sedia ada dengan nisbah jumlah masjid dan surau di seluruh negara termasuk menyebarluaskan keperluan guru takmir mengajar di agensi-agensi seperti institusi penjara dan Agensi Antidadah Kebangsaan.

"Kerajaan hari ini akan terus komited untuk memelihara kebajikan para murabbi ummah dengan memastikan inisiatif-inisiatif yang diberikan dapat dilaksanakan secara berterusan," katanya.

Pada konvensyen itu, 14 imam dan 14 guru takmir di seluruh negara diumumkan sebagai Tokoh Imam dan Guru Takmir negeri bagi 2020. Kesemua mereka menerima sagu hati RM2,500 seorang, sijil penghargaan dan plak sebagai tanda penghargaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 4:42 PM