Mohammad Arif ketika ditemui media di Kota Kinabalu. FOTO YUN MIKAIL
Mohammad Arif ketika ditemui media di Kota Kinabalu. FOTO YUN MIKAIL
Yun Mikail

Kota Kinabalu: Pengumuman pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama dua minggu bagi menggantikan sesi bersemuka selepas Hari Raya Aidilfitri dilihat antara pendekatan terbaik berikutan jumlah kes positif Covid-19 dalam kalangan pelajar kian meningkat.

Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Sabah Mohammad Arif Sakaran berkata, situasi sama turut berlaku di Sabah apabila ramai pelajar membabitkan beberapa sekolah disahkan positif Covid-19 sehingga ada sekolah terpaksa ditutup.

"Kes positif melibatkan pelajar begitu meningkat ketika ini dan ia pastinya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa malahan ada antara mereka tidak berani menghantar anak masing-masing ke sekolah.

"Keputusan KPM mahu melaksanakan semula PdPR selepas Hari Raya Aidilfitri adalah suatu tindakan bijak untuk kebaikan semua pihak.

"Saya sendiri menyokong penuh saranan daripada kementerian ini kerana ramai ibu bapa di negeri ini menzahirkan kebimbangan mereka khususnya buat anak-anak yang baru memasuki pra sekolah, tahun satu dan dua," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohammad Arif berkata, pelaksanaan PdPR selepas Hari Raya Aidilfitri mampu dilaksanakan dengan lebih baik ekoran semua pihak khususnya ibu bapa, guru dan pelajar sudah bersedia berbanding sebelum ini.

Menurutnya, kekurangan peranti juga antara salah satu masalah utama dihadapi sepanjang PdPR tahun lalu namun kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO) sudah menyumbang banyak peranti kepada golongan pelajar selepas beberapa bulan implementasi PdPR.

"Penglibatan komuniti seperti ibu bapa dan pihak swasta juga penting untuk memastikan PdPR berjalan lancar.

"Ibu bapa sendiri harus membantu dari segi pemantauan pembelajaran anak di rumah sepanjang PdPR dan tidak boleh hanya bergantung sepenuhnya kepada guru," katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin mengumum sesi PdPR selama dua minggu bakal bermula 16 hingga 27 Mei bagi sekolah Kumpulan A (sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 17 hingga 28 Mei bagi sekolah Kumpulan B (sekolah di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Menurut beliau, keputusan berkenaan dibuat bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19 di sekolah selepas cuti sekolah bagi meraikan Aidilfitri yang dijadualkan pada 7 hingga 15 Mei bagi sekolah Kumpulan A dan 8 sehingga 16 Mei bagi sekolah Kumpulan B.

Selepas tempoh PdPR itu, murid dan pelajar akan menyambung cuti penggal bermula 28 Mei hingga 12 Jun bagi sekolah Kumpulan A dan 29 Mei sehingga 13 Jun bagi sekolah Kumpulan B.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 2:22 PM