GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah hari ini menasihatkan Jabatan Pendidikan negeri supaya segera melaksanakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menggunakan modul bercetak untuk murid dan pelajar yang tiada peranti serta liputan internet.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun berkata, langkah itu bagi memastikan tiada murid dan pelajar di negeri ini yang tercicir sepanjang pelaksanaan kaedah PdPR.

"Sebagai langkah segera, kerajaan negeri menasihatkan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah melaksanakan pembelajaran seperti yang dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu.

"PdPR bagi pelajar yang tidak mempunyai liputan internet dan tidak mempunyai peranti hendaklah diteruskan dengan nota pembelajaran dicetak dan disampaikan kepada pelajar," katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 Sabah, di sini, malam ini.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan akan membuat penilaian mengenai jumlah murid dan pelajar yang layak diberikan peranti bagi membantu mereka mengikuti PdPR secara dalam talian.

Bagaimanapun, katanya, keberkesanan bantuan itu juga tertakluk kepada capaian internet di kawasan murid dan pelajar, memandangkan masih banyak lokasi di negeri ini tidak menerima liputan internet yang baik.

"Dalam mesyuarat Kabinet negeri hari ini, Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor mengarahkan Exco Pendidikan, Datuk Mohd Ariffin Arif untuk berhubung segera dengan Jabatan Pendidikan negeri bagi menentukan jumlah murid dan pelajar yang layak diberikan bantuan peranti," katanya.

Hajiji sebelum ini menyatakan kesediaan kerajaan negeri untuk menimbangkan bantuan peranti kepada murid dan pelajar dari keluarga kurang berkemampuan di Sabah supaya mereka dapat mengikuti PdPR secara dalam talian.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 9:26 PM