GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Program pendidikan di televisyen harus diberi nafas baharu dan diinovasikan bagi memastikan saluran itu bersesuaian dengan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika pandemik Covid-19.

Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan, Pentadbiran, Perancangan dan Dasar Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Zuraidah Abdullah berkata, penggunaan televisyen sebagai medium PdPR harus dioptimumkan berikutan dapat membantu mengatasi masalah seperti kekurangan peranti dan capaian Internet dihadapi ibu bapa.

Beliau berkata, pendekatan itu dilihat sebagai alternatif menampung kelangsungan PdPR sedia ada berikutan secara puratanya lebih 90 peratus keluarga di Malaysia memiliki televisyen di rumah berbanding peranti dan gajet serta Internet.

"Kementerian Pendidikan (KPM) sudah laksanakan program ini di beberapa saluran televisyen tempatan, namun saya melihat ia masih tidak menyeluruh untuk memastikan PdPr bagi semula mata pelajaran utama.

"Mahu tidak mahu pendekatan ini harus diakui antara alternatif amat membantu PdPR buat masa ini dan boleh diguna pakai kerana lebih 90 peratus isi rumah ada televisyen," katanya kepada Harian Metro.

Beliau yang juga Perunding Kajian Pendidikan UM berkata, untuk kelancaran PdPR, program pendidikan harus diberi nafas baharu dengan salurannya dipelbagaikan, lebih interaktif dan menarik semua peringkat murid dan pelajar.

Katanya, kalau Kalau ada saluran khas diperbanyakkan, ia boleh menjadi satu program wajib diikuti murid dan pelajar.

"Namun, syaratnya PdPR itu perlu diinovasikan supaya 'hidup', menarik, berbentuk penceritaan, dua hala, bersiri dan kreatif untuk menarik minat murid dan pelajar untuk belajar.

"Konsep digunakan ialah satu saluran khusus bagi setiap peringkat, tahap dan pembelajaran murid dan pelajar supaya lebih berstruktur dan tidak berlaku pertindihan jadual," katanya.

Beliau berkata, hasil kajian dilakukan pihaknya mendapati lebih 65 peratus daripada 100 ibu bapa masih tidak bersedia dengan PdPR ketika pandemik sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lagi berikutan kekangan peranti serta masalah capaian Internet.

Menurutnya, pihaknya percaya ibu bapa berlatar belakangkan pendidikan dan berada di bandar mungkin tiada masalah menyesuaikan diri dengan PdPR norma baharu ini.

"Namun, masalah pasti timbul kepada ibu bapa yang tiada kemahiran pedagogi, psikologi dan ilmu teknologi maklumat serta mereka yang tinggal di luar bandar.

"Walaupun itu tidak boleh dijadikan alasan dalam situasi norma baharu ini, perlu diberi perhatian misalnya keluarga B40 yang terhimpit dengan masalah ekonomi pasti terbeban menyediakan kos bagi membeli keperluan peranti dan Internet.

"Sudah tiba masanya semua pihak bersatu hati dan memainkan peranan bagi menyelamatkan sistem pendidikan kita, bukan hanya menuding jari menyalahkan mana-mana pihak," katanya.

Isu PdPR terus mencetuskan pelbagai polemik sejak pelaksanaan PKP 1.0 hingga wujud cadangan program pendidikan di televisyen dimanfaatkan sepenuhnya untuk melancarkan proses PdPR.

Semalam, perkara itu turut dibangkitkan Pengerusi Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris yang menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat multinasional (MNC), badan yayasan dan semua wakil rakyat campur tangan menyelesaikan isu itu.

Pada pembentangan Belanjawan 2021, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz turut mengumumkan, sebanyak 150 juta peruntukan sumbangan dalam Tabung CERDIK akan digunakan bagi penyediaan akses digital membabitkan komputer riba, tablet dan data.

Insiatif diselia Yayasan Hasanah itu akan diagihkan kepada 150,000 murid di 500 sekolah seluruh negara bermula bulan depan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 4:02 PM