GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kluster Tapak Bina Bali Residence melaporkan kes baharu paling tinggi hari ini iaitu sebanyak 203 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster tempat kerja membabitkan daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah, Melaka itu antara 11 kluster baharu yang dilaporkan hari ini.

"Kes indeks bagi kluster itu (kes ke-158,375) dilaporkan positif Covid-19 pada 17 Januari lalu hasil saringan kemasukan ke wad. Nama kluster itu merujuk kepada tapak binaan yang terletak di Kawasan Bandar V1, Melaka.

"Setakat ini, sejumlah 403 individu disaring, yang mana 204 kes dikesan positif Covid-19," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kluster tempat kerja lain yang dilaporkan adalah Kluster Tapak Bina Jalan Wangsa (Titiwangsa, Kuala Lumpur), Kluster Jalan Timah Dua (Johor Bahru), Kluster Persiaran Tanjung (Johor Bahru), Kluster Kilang Setapak (Titiwangsa), Kluster Jalan Canggih (Johor Bahru), Kluster Tapak Bina Lebuh Puteri (Petaling, Selangor) serta Kluster Kampung Bombalai (Tawau dan Kalabakan, Sabah).

Dr Noor Hisham berkata, terdapat kluster keagamaan dikenali Kluster Kampung Bukit Biah merujuk kepada lokaliti tempat tinggal kes berkenaan.

"Kluster ini membabitkan daerah Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Besut dan Kemaman di Terengganu.

"Kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 16 Januari lalu hasil saringan individu merentas negeri. Sehingga hari ini, sejumlah 131 individu disaring dan 39 daripadanya dikesan positif," katanya.

Menurutnya, terdapat juga kluster pusat tahanan dikenali Kluster Tembok Sungai Udang di daerah Melaka Tengah, Melaka yang membabitkan banduan dan kakitangan di pusat tahanan berkenaan.

Katanya, kes indeks bagi kluster (kes ke-150,855) dilaporkan positif Covid-19 pada 15 Januari hasil saringan individu bergejala dan setakat ini 25 individu dikesan positif.

Beliau berkata, kluster terakhir iaitu Kluster Kampung Guntong Luar membabitkan daerah Setiu dan Kuala Nerus, Terengganu dengan 13 kes positif dilaporkan sehingga hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 8:05 PM