GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Empat kluster baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, iaitu dua di Sabah dan masing-masing satu di Selangor serta Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pertama ialah Kluster Batu Tiga di Tawau, Sabah, yang mana kes indeks iaitu kes ke-49,006 dilaporkan positif Covid-19 pada 17 November hasil saringan individu bergejala.

Katanya, sehingga hari ini, seramai 28 individu disaring, yang mana 28 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster itu.

"Kluster kedua ialah Kluster Jalan Domis membabitkan daerah Penampang, Kota Kinabalu dan Tongod di Sabah.

"Kes indeks (kes ke-63,267) dilaporkan positif Covid-19 pada 29 November hasil saringan kontak rapat, dan sehingga hari ini seramai 132 individu sudah disaring, yang mana 12 dikesan positif dalam kluster ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kluster ketiga adalah Kluster Andalas membabitkan daerah Klang di Selangor.

Katanya, kes indeks (kes ke-68,771) dilaporkan positif Covid-19 pada 3 Disember hasil saringan individu bergejala.

Menurutnya, sehingga hari ini, seramai 43 individu sudah disaring, dan 16 kes dikesan positif Covid-19.

"Keempat, Kluster Tapak Bina Bulatan yang membabitkan daerah Cheras, Titiwangsa dan Lembah Pantai di Kuala Lumpur.

"Kes indeks (kes ke-67,708) dilaporkan positif Covid-19 pada 2 Disember hasil saringan sebelum ke luar negara. Seramai 319 individu sudah disaring, dan 163 kes dikesan positif," katanya.

Beliau berkata, sehingga hari ini, terdapat sebanyak 385 kluster sudah dilaporkan termasuk empat kluster baharu yang dilaporkan hari ini.

Katanya, jumlah kluster yang sudah tamat ialah sebanyak 198 termasuk lima kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Fores, Kluster Aero, Kluster Sungei Way, Kluster Baki dan Kluster Seladah.

"Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 187 kluster. Daripada jumlah itu, sebanyak 49 kluster melaporkan pertambahan kes hari ini.

"Kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi ialah Kluster Tapak Bina Bulatan (162 kes); Kluster Ria-30 (51 kes) dan Kluster Batu Tujuh (39 kes)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 7:11 PM