Redzuan Muharam

Kajang : "Niat saya adalah membantu suami selain berkongsi ilmu yang ada. Saya lakukannya kerana Allah dan ia sebahagian cara saya menjalankan tanggungjawab fardu kifayah," kata ibu empat anak, Siti Suriana Abdul Aziz.

Siti Suriana, 44, adalah suri rumah yang mengambil upah sebagai guru mengaji sambilan bagi mengajar anak jiran di kawasan perumahannya di Flat Bandar Teknologi Kajang, Seksyen 1, di sini.

Meskipun mengalami kesempitan wang, Siti Suriana tidak berkira soal bayaran sebaliknya hanya mengambil upah seikhlas hati daripada jiran yang menghantar anak mereka mengaji dengannya.

"Saya mengambil upah mengajar anak jiran mengaji Iqra' , al-Quran dan tajwid sejak tiga tahun lalu.

" Ia dilakukan bagi meringankan beban suami (Mohd Yunus Abd Wahid) terutama selepas tidak dapat bekerja tetap memasang khemah seperti dulu kerana tawaran kerja semakin berkurangan akibat Covid-19 dan PKP.

"Saya tidak kenakan bayaran kerana rasa bersalah dan bimbang dianggap mengambil kesempatan jadi terima saja berapa pun upah diberi.

"Kebiasaannya, ibu bapa murid membayar dengan seikhlas hati mereka dan kadangkala, ada tadika berhampiran mengundang saya mengajar mengaji di situ dengan mengenakan bayaran cuma tidak larat memenuhi semua undangan disebabkan ada darah tinggi," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Siti Suriana berkata, buat masa ini, barangan keperluan dapat dibeli dengan bantuan kerajaan negeri menggunakan kad inisiatif Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).

Manakala, sewa bulanan rumah sebanyak RM350 dibiayai oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).

SITI Suriani mengajar anak perempuannya mengaji ketika anak lelakinya, menggunakan telefon bimbit untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
SITI Suriani mengajar anak perempuannya mengaji ketika anak lelakinya, menggunakan telefon bimbit untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Cuma, keempat-empat anak saya masih bersekolah di tingkatan lima, tiga, satu dan tahun enam jadi agak sukar kerana mereka terpaksa bergilir-gilir menggunakan satu telefon bimbit yang ada.

"Ada kelengkapan seperti buku belum dibeli lagi namun baru-baru ini ada rakan yang juga ibu kepada murid mengaji saya memberi sumbangan jadi dapatlah saya gunakan wang itu bagi menjelaskan yuran persekolahan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) anak bongsu (Intan Nur Amina,12)," katanya.

Menyedari kesempitan wang dialami, Siti Suriana melatih dirinya dan anak untuk mengutamakan keperluan dan mengetepikan kehendak.

"Apabila ada wang lebih, saya dan suami akan dahulukannya untuk membeli barangan basah untuk dimasak seperti ayam atau ikan.

"Kami sekeluarga tidak pernah sampai ke tahap mengikat perut cuma tiada pilihan kecuali berjimat cermat," katanya.

Sementara itu, suaminya ,Mohd Yunus, 46, berkata beliau sebelum ini bekerja tetap di sebuah syarikat kanopi dengan menerima pendapatan bulanan sebanyak RM1,600.

Pada masa sama, Mohd Yunus adalah siak di Surau Al-Hidayah Bandar Teknologi Kajang namun hanya menerima elaun tahunan RM300 yang dibahagikan dengan pembantu siak.

"Disebabkan Covid-19 , tiada majlis diadakan jadi kerja semakin berkurangan dan lama kelamaan tiada langsung tawaran diterima jadi majikan tidak dapat membayar gaji penuh seperti dulu.

"Malah, sejak awal tahun ini, saya lebih banyak duduk di rumah dan baru semalam dipanggil melakukan kerja memasang khemah dengan bayaran RM50 mengikut hari bekerja.

"Syarikat ada membantu begitu juga isteri cuma buat masa ini, saya tidak dapat menyediakan keperluan lengkap khususnya buat anak sulung , Muhammad Aqashah yang memerlukan komputer riba bagi pengajiannya di Kolej Vokasional Kajang," katanya.

Mereka yang ingin membantu boleh menyumbang ke akaun Siti Suriana Abdul Aziz menerusi akaun 11801400058497 (RHB BANK)

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 2:45 PM