Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Perkenalan melalui laman sosial Facebook (FB) dua tahun lalu membawa hubungan lebih serius buat pasangan ini yang akhirnya disatukan dengan ikatan perkahwinan.

Meskipun mengetahui keadaan suaminya kudung kaki kiri kerana dipotong akibat penyakit kencing manis sejak 10 tahun lalu, Suriani Kamarudin, 33, tetap menerima Razi Ahmad, 49, seadanya dengan harapan dapat menjaga lelaki itu yang tinggal berseorangan.

Langsung tidak melihat kekurangan suaminya itu sebagai satu beban, ujian terus dihadapi apabila Razi diserang strok pada Mei lalu sebelum sebelah lagi kakinya dipotong kira-kira dua bulan lalu.

Suriana berkata, dia tidak pernah menyesal dengan keputusan diambil untuk hidup bersama Razi sejak Disember 2019, malah tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri dengan baik.

"Saya dan dua anak (daripada perkahwinan terdahulu) hanya ingin menumpang kasih dan keperibadian suami yang membuatkan saya tidak teragak-agak menerimanya, malah saya gembira dapat melaksanakan tanggungjawab seorang isteri.

"Suami memang bergantung sepenuhnya kepada saya kerana dia semakin tidak mampu menggagahkan anggota badan termasuk perlu disuapkan makan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kedai Buloh di sini, semalam.

Suriani Kamarudin, 33, mengelap badan suaminya, Razi Ahmad, 49, yang menghidap kencing manis, buah pinggang tahap empat dan diserang strok ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Kedai Buloh di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Suriani Kamarudin, 33, mengelap badan suaminya, Razi Ahmad, 49, yang menghidap kencing manis, buah pinggang tahap empat dan diserang strok ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Kedai Buloh di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Suriani berkata, sebelum ini suaminya mampu berjalan perlahan-lahan atau mengengsot, tapi sejak kedua-dua kakinya dipotong, dia hanya terlantar dan perlu dipakaikan lampin pakai buang, selain penglihatan semakin kabur akibat kencing manis.

Menurutnya, ujian makin bertambah apabila Razi kini disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap empat.

"Perbelanjaan untuk kami terutama keperluan suami bergantung bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM400 sebulan dan ada sedikit sebanyak bantuan daripada ahli keluarga.

"Saya akan jaga suami sampai bila- bila kerana bagi saya dia seorang yang sangat baik dan kami akan jalani ujian ini bersama-sama," katanya.

Terdahulu mereka menerima kunjungan kumpulan aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili Che Norhayati Mohamed yang tampil bertanya khabar dan menyampaikan kerusi roda wakaf selain sumbangan zakat serta barang dapur.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga itu boleh menghubungi Suriani di 0199778843.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 1:35 PM