FOTO hiasan.
FOTO hiasan.
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis Kedah menyangkal laporan yang tular di media sosial berkaitan dua suspek disyaki terbabit kes menembak anggota polis Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 pada 12 November lalu meloloskan diri daripada tahanan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad ketika dihubungi, menafikan laporan berkenaan sebaliknya memaklumkan kedua-dua suspek dibebaskan kerana permohonan reman tidak dilanjutkan mahkamah.

Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan susulan kes tembakan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis pada 24 November tahun lalu yang mengorbankan anggota PGA.

"Kita tahan 15 suspek dan hasil siasatan mendapati, dua daripada mereka disyaki terbabit dengan kes tembakan itu. Mereka juga disyaki terbabit kes penyeludupan daun ketum, pencerobohan dan khianat di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam pada 12 November," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun katanya, siasatan kes melepaskan tembakan terhadap anggota polis terbabit sudah selesai dijalankan.

Katanya, kertas siasatan kemudian dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dan polis masih menunggu arahan lanjut bagi pertuduhan kes di mahkamah.

"Kita juga menyiasat kedua-dua suspek babit kes penyeludupan daun ketum, pencerobohan dan khianat di kawasan sempadan Bukit Kayu Hitam Kedah. Bagaimanapun, dua permohonan reman ditolak mahkamah iaitu pada 6 (kelmarin) dan 7 Januari (semalam). Disebabkan itu mereka dibebaskan," katanya.

Terdahulu tular laporan mendakwa dua suspek terbabit kes kematian anggota PGA cuba meloloskan diri daripada tahanan polis selain disyaki mempunyai senjata api serta cuba meloloskan diri ke Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 1:01 AM