SEBANYAK 1,050 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM31,500 dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara. FOTO Ihsan PGA
SEBANYAK 1,050 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM31,500 dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara. FOTO Ihsan PGA
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Kangar: Sebanyak 1,050 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM31,500 dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara selepas menahan seorang lelaki dalam dua serbuan berasingan di Kuala Perlis, di sini pada Selasa lalu.

Operasi 'Op Bersepadu Benteng Covid Kawalan Keselamatan Sempadan Darat Malaysia-Thailand' yang membabitkan anggota risikan dari Batalion 18 PGA turut dibantu anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, Balai Polis Kuala Perlis, Agensi Kawalan Keselamatan Malaysia (AKSEM) Kuala Perlis dan pasukan Polis Marin Daerah Kuala Perlis.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, dalam serbuan 5 pagi, anggota ternampak longgokan plastik hitam di atas pelantar tepi sungai di Kampung Tengah, Kuala Perlis.

"Terdapat 82 longgokan plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 820 kg. Mereka menunggu dan membuat pemerhatian namun tiada individu yang menghampiri atau mengambil bungkusan itu.

"Nilai rampasan berkenaan dianggarkan RM24,600 dan kesemua daun ketum itu dibawa ke Bahagian Narkotik IPD Kangar untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, dalam satu lagi serbuan berasingan sekitar 2.30 pagi sebelum itu, PGA berjaya menahan seorang suspek yang dipercayai adalah penyeludup di tepi sungai berdekatan rumah tidak bernombor di Kampung Wai Kuala Perlis.

"Sebaik tiba di lokasi, anggota bertugas ternampak seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan berada berhampiran kereta jenis Perodua Kancil di mana keadaan enjinnya itu masih hidup.

"Kehadiran kami bagaimanapun disedari suspek menyebabkan dia cuba melarikan diri namun berjaya ditahan namun anggota tidak menemui apa-apa barang padanya.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kereta berkenaan menemui 23 bungkusan plastik hitam berisi daun hijau disyaki daun ketum seberat 230 kg bernilai RM6,900," katanya.

Beliau berkata, suspek berusia 54 tahun segera ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kuala Perlis untuk siasatan lanjut dan pihaknya percaya bahawa daun ketum itu adalah untuk diseludup ke Thailand.

"Siasatan awal kami mendapati suspek bekerja sebagai buruh dan tinggal di Kampung Cantik Bangun, Simpang Empat, Perlis dan ujian saringan air kencing suspek juga didapati positif syabu.

"Selain ketum, kita turut merampas kereta Perodua Kancil dipercayai milik suspek yang dianggarkan RM4,600. Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 4:54 PM