SEBANYAK 880 kg daun ketum yang dianggarkan bernilai RM26,000 berjaya dirampas selepas PGA Briged Utara menahan dua lelaki dalam dua kejadian berasingan. FOTO ihsan PGA BRIGED UTARA
SEBANYAK 880 kg daun ketum yang dianggarkan bernilai RM26,000 berjaya dirampas selepas PGA Briged Utara menahan dua lelaki dalam dua kejadian berasingan. FOTO ihsan PGA BRIGED UTARA
Aizat Sharif


Padang Besar: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara menahan dua lelaki dan merampas 880 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM26,000 dalam serbuan berasingan, di sini.

Komandernya Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, dalam kejadian 11 pagi semalam, anggota Batalion 3 PGA terserempak dengan empat lelaki dalam keadaan mencurigakan di dalam kebun berhampiran Pos C15 di laluan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand, di sini.

"Anggota PGA kemudian mengarahkan kumpulan lelaki berkenaan untuk berhenti, namun mereka memecut laju motosikal bagi mengelak ditahan.

"Bagaimanapun, dua daripada mereka berusia 32 dan 22 tahun berjaya ditahan bersama motosikal dinaiki" katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pemeriksaan ke atas suspek berusia 22 tahun menemui satu plastik lutsinar mengandungi tiga peket kecil disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 4.11 gram.

"Pemeriksaan lanjut di kawasan berkenaan menjumpai 16 guni putih mengandungi daun hijau dipercayai daun ketum seberat 480 kg bernilai RM14,400 dipercayai milik suspek.

"Selain dadah dan daun ketum, kita turut merampas dua alat penimbang serta dua motosikal untuk siasatan lanjut," katanya.

Ghani berkata, terdahulu, anggota PGA menemui 13 guni putih mengandungi daun hijau disyaki daun ketum seberat 400 kg bernilai RM12,000 yang ditinggalkan penyeludup di kawasan semak di Kampung Kubang Tiga, Chuping pada 9 malam Ahad lalu.

Menurutnya, kesemua bekalan daun ketum itu dipercayai cuba diseludup keluar ke Thailand.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 7:30 PM