Nur Izzati Mohamad


Tasek Gelugor: Jawatankuasa Petugas Khas yang ditubuhkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) pada September lalu diarahkan untuk menyelesaikan isu pencemaran najis babi di Sungai Kereh di sini, dengan segera berikutan ia sudah menghantui penduduk selama empat dekad.

Pasukan petugas khas yang ditubuhkan itu adalah hasil pertemuan Menteri KASA Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Pengerusi jawatankuasa terbabit, Datuk Dr Nadzri Yahaya berkata, susulan pertemuan itu beberapa agensi berkaitan bergabung dan bekerjasama dalam memberikan syor mengikut kepakaran masing-masing dalam menyelesaikan masalah yang berlaku.

"Ketua Menteri Pulau Pinang datang bertemu Menteri pada 24 September lalu dan menyatakan permasalahan yang berlaku hingga pasukan jawatankuasa petugas khas terbentuk.

"Menteri berharap masalah ini dapat diselesaikan dengan baik dan jawatankuasa ini boleh menjadi model penyelesaian masalah di tempat lain yang mana kita sedang berusaha untuk menjadikan kawasan ini contoh terbaik," katanya ketika mengadakan lawatan mengejut di Kampung Selamat di sini, hari ini.

Dalam lawatan itu, Nadzri yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara meninjau lokasi pencemaran dan sebuah ladang babi yang dikendalikan dengan amalan penternakan baik.

Menurutnya, melalui lawatan itu pasukan jawatankuasa khas yang terdiri daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan akan menyenaraikan setiap masalah dan strategi penyelesaian secara jangka pendek dan panjang.

Bagaimanapun, katanya, tiada garis masa yang ditetapkan untuk menyelesaikan masalah pencemaran najis babi di sungai terbabit namun ia akan dilakukan secepat mungkin.

"Pada masa ini, kita memerlukan strategi apa yang perlu dibuat dan kita tetapkan seterusnya mencari jalan penyelesaian untuk diselesaikan," katanya.

DATUK Dr Nadzri Yahaya (tiga dari kiri) bersama Dr Ainun Man (kanan) mendengar penerangan daripada Wong Soon Ping (tiga dari kanan) mengenai proses air kumbahan najis ternakan babi dijadikan baja kompos. FOTO Danial Saad
DATUK Dr Nadzri Yahaya (tiga dari kiri) bersama Dr Ainun Man (kanan) mendengar penerangan daripada Wong Soon Ping (tiga dari kanan) mengenai proses air kumbahan najis ternakan babi dijadikan baja kompos. FOTO Danial Saad

Sementara itu, Nadzri berkata, jawatankuasa itu juga akan menyelesaikan masalah pencemaran Sungai Kereh sehingga ke akar umbi selepas penguatkuasaan Enakmen Penternakan Babi 2016 dan Peraturan-Peraturan Pelesenan Penternakan Babi Pulau Pinang 2020 yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari tahun hadapan.

"Masalah ini berlarutan terlalu lama bahkan sejak 40 tahun lalu dan apabila adanya enakmen ini ia membolehkan kita bertindak sehabis baik untuk mengatasi masalah ini.

"Jawatankuasa ini akan membantu dari segi bantuan moral, teknikal, dan koordinasi secara bersepadu" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 3:16 PM