Oleh Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Sudah terlalu lama penduduk di Gertak Sanggul, Teluk Kumbar di sini, terpaksa menghidu bau busuk berpunca dari kandang babi berhampiran kediaman mereka.

Walaupun mendakwa mereka sudah lali dengan keadaan itu, penduduk masih berharap masalah berkenaan diselesaikan segera oleh pihak berwajib.

Tinjauan Harian Metro bersama Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Aziwan Ali ke lokasi yang didakwa, terdapat dua kandang babi yang terletak bersebelahan dengan rumah penduduk.

Satu daripadanya sudah ditutup sejak beberapa tahun lalu manakala satu lagi masih aktif sekali gus bau najis dari kandang berkenaan boleh dihidu pada jarak 100 meter.

Terdapat sebuah binaan yang digunakan bagi tujuan merawat sisa buangan najis babi berkenaan sebelum dipercayai disalurkan ke sungai berdekatan yang mengalir ke laut.

Dipercayai juga sisa najis babi yang tidak dirawat dengan sempurna itu dilepaskan atau dibuang ke dalam sungai berkenaan.

Penduduk yang mahu dikenali sebagai Tan, 46, berkata, rumahnya terletak berhampiran kandang babi dan hanya beberapa meter dari sungai.

Katanya, bau yang dipercayai berpunca daripada kandang berkenaan mengganggu kehidupan penduduk termasuk lapan ahli keluarganya.

"Masalah ini sudah lama berlaku malah banyak aduan juga dibuat kepada pihak berwajib namun keadaannya masih sama.

"Bau berkenaan sudah sebati dengan hidung penduduk malah sejak beberapa tahun lalu, kami juga tidak pernah jemput tetamu datang ke rumah kerana bimbang mereka tidak selesa dengan keadaan itu," katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Tan lagi, air sungai yang mengalir ke laut itu juga bertukar kepada warna kehitaman.

"Penduduk di sini sudah buntu dan tidak tahu lagi hendak buat aduan kepada siapa, nampaknya terpaksalah kami hadapi bau busuk ini sepanjang hayat.

"Bapa saya sering menceritakan fungsi sungai ini sekitar tahun 70-an yang mana airnya mengalir dari bukit berhampiran dan menjadi tempat penduduk mendapatkan bekalan sumber air bersih, tapi kini bukan sahaja dicemari najis malah mengeluarkan bau busuk," katanya.

Sementara itu, Presiden SAM Meenakshi Raman mencadangkan supaya pemilik kandang babi menggunakan sistem kandang tertutup yang dilihat sesuai bagi mengurangkan pencemaran bau selain mematuhi zon penampan.

Selain itu, terdapat beberapa lagi cadangan yang boleh diguna pakai bagi memastikan penternakan babi tidak mendatangkan pencemaran dan memberi kesan kepada alam sekitar serta orang ramai.

Meenakshi berkata, antara cadangan lainnya ialah penternak disarankan supaya mengaplikasi sistem teknologi hijau dalam pengurusan sisa pepejal.

Malah penternak babi juga perlu menggunakan sistem pengolahan efluen yang cekap dan penjanaan elektrik biogas bagi penjimatan tenaga.

"Populasi ternakan babi juga perlu dikurangkan kepada tahap yang mampu bagi menampung kapasiti rawatan kumbahan.

"Penguatkuasaan undang-undang juga perlu dilakukan dengan lebih ketat iaitu membabitkan Enakmen Penternakan Babi 2016 dan Peraturan Perlesenan Penternakan Babi (Pulau Pinang) 2020," katanya ketika dihubungi di sini.

Meenakshi berkata, pembinaan ladang ternakan baru dan penaiktarafan ladang ternakan bagi kandang tertutup, perlu merujuk kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mendapat nasihat dan kebenaran kesesuaian tapak.

Katanya, kandang babi yang lama juga perlu dinaik taraf selain mengkaji semula kesesuaian tapak berdekatan kawasan penempatan.

"Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) sudah mengeluarkan Garis Panduan Pengurusan Sisa Buangan Ternakan Babi Edisi 1 tahun 2019 yang mana penternak perlu melaksanakan Amalan Perladangan Babi Yang Baik (GAHP) mengikut garis panduan yang diterbitkan oleh jabatan itu.

"Selain di Gertak Sanggul, terdapat beberapa kawasan titik panas yang dikenal pasti SAM iaitu kandang babi di Kampung Selamat, Valdor, Simpang Ampat dan Sungai Jawi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2022 @ 2:35 PM
Kandang babi di Gertak Sanggul, Teluk Kumbar di sini, yang terletak berhampiran penempatan penduduk manakala air sungai berhampirannya bertukar kehitaman dan mengeluarkan bau busuk dipercayai berpunca daripada sisa najis babi yang tidak dirawat dengan baik. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Kandang babi di Gertak Sanggul, Teluk Kumbar di sini, yang terletak berhampiran penempatan penduduk manakala air sungai berhampirannya bertukar kehitaman dan mengeluarkan bau busuk dipercayai berpunca daripada sisa najis babi yang tidak dirawat dengan baik. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI