SUASANA persiapan dan persediaan bagi Istiadat Pengebumian Negara jenazah Allahyarhamah Tun Rahah di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara. FOTO Bernama
SUASANA persiapan dan persediaan bagi Istiadat Pengebumian Negara jenazah Allahyarhamah Tun Rahah di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Persiapan bagi Istiadat Pengebumian Negara Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah di Masjid Negara petang ini dilihat berjalan lancar.

Tinjauan Bernama di sekitar pekarangan masjid mendapati kesemua persiapan hampir selesai termasuk urusan penggalian tempat persemadian jenazah Allahyarhamah.

Selain itu, anggota polis juga dilihat memantau aspek keselamatan termasuk memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sepanjang persediaan istiadat pengebumian tersebut dilakukan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, 12 pegawai dan 24 anggota ditugaskan di masjid berkenaan sejak 9 pagi tadi.

"Ini bagi memastikan kawalan keselamatan Istiadat Pengebumian Negara Allahyarhamah Tun Rahah berada pada tahap tertinggi serta mematuhi SOP PKPB," katanya ketika ditemui Bernama di Masjid Negara.

Tun Rahah, 87, meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court petang semalam.

Terdahulu, jenazah Allahyarhamah tiba di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi untuk dimandi dan dikafankan sebelum orang ramai dibenar memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari ini.

Selepas urusan penghormatan terakhir itu, jenazah Allahyarhamah akan dibawa ke Masjid Negara bagi Istiadat Pengebumian Negara.

Jenazah akan dikebumikan di Lingkaran Makam Pahlawan.

Sementara itu, Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Husni ketika ditemui berkata jenazah Allahyarhamah akan dikebumikan bersebelahan pusara kakaknya, Tun Suhailah yang juga ibu kepada Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Berita berkaitan

Ahli politik, orang ramai beri penghormatan terakhir kepada Tun Rahah [METROTV]

Jenazah Tun Rahah tiba di Masjid Ar-Rahah

Tun Rahah, wanita di belakang dua bekas pemimpin nombor satu negara

Tun Rahah, wanita di belakang dua bekas pemimpin nombor satu negara

'Bonda saya sudah tiada' - Najib Razak [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2020 @ 1:57 PM