Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Walaupun tidak mempunyai pengalaman khusus dalam bidang penternakan burung puyuh, pengusaha bas sekolah dari Kampung Kubang Bongor, di sini, nekad mengusahakannya sebagai sumber pendapatan ketika penularan pandemik Covid-19.

Zahari Abdullah, 68, dia yang terkesan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu, mula mengusahakan projek ternak burung puyuh itu November lalu.

Menurutnya, sebagai permulaan dia membeli 500 ekor anak burung puyuh daripada pembekal di Tanah Merah dengan bermodalkan RM400 dan diternak di kawasan tanah lapang yang terletak di belakang rumahnya.

"Saya memilih untuk menternak burung puyuh disebabkan ia mudah dipelihara serta menguntungkan kerana sentiasa mendapat permintaan selain tidak memerlukan modal permulaan yang besar.

"Bagi memastikan keselesaan burung puyuh yang diternak, saya membina reban bertingkat dengan bermodalkan RM600 bagi mengelak burung puyuh ini bersesak-sesak selain mahu ia kelihatan lebih kemas dan bersih," katanya ketika ditemui.

Bapa kepada tiga cahaya mata yang berusia 24 hingga 34 tahun ini berkata, bagi memberi makan kepada burung puyuh yang diternak, pada setiap minggu dia memperuntukkan RM105 untuk membeli dedak seberat 50 kilogram (kg).

Zahari Abdullah mula berjinak dengan ternakan burung puyuh sejak November lalu sebagai sumber pendapatan sampingan di Kampung Kubang Bongor. FOTO/ STR HAZIRA AHMAD ZAIDI
Zahari Abdullah mula berjinak dengan ternakan burung puyuh sejak November lalu sebagai sumber pendapatan sampingan di Kampung Kubang Bongor. FOTO/ STR HAZIRA AHMAD ZAIDI

"Burung puyuh yang diternak ini akan diberi makan sebanyak tiga kali sehari iaitu pada waktu pagi dan juga petang.

"Bagi mengelakkan burung puyuh yang diternak ini dijangkiti penyakit, setiap hari saya yang turut dibantu oleh isteri, Tuan Yah Tuan Yeh, 61, akan membersihkan kawasan di sekitar reban," katanya.

Zahari berkata, ternakan burung puyuh yang diusahakannya itu masih belum mengeluarkan hasil kerana masih di peringkat permulaan.

"Namun kebiasaannya burung puyuh boleh mengeluarkan telur setelah dua bulan dipelihara, manakala tempoh matang bagi puyuh daging pula ialah ketika berusia 25 hari ke atas dan boleh disembelih.

"Selepas ternakan ini mengeluarkan hasil, saya akan menjual telur burung puyuh ini dengan harga RM17 untuk 100 biji, manakala bagi daging puyuh yang sudah siap diproses akan dijual pada harga RM20 satu kilogram.

"Setakat ini saya sudah mendapat permintaan daripada penduduk setempat dan juga pengusaha kedai makan nasi kukus puyuh berempah yang mahu membeli ternakan ini selepas tempoh matang," katanya.

Katanya, dalam jangka masa terdekat, dia juga merancang untuk mengembangkan lagi ternakan burung puyuh ini dengan menambah bilangan reban untuk meningkatkan pengeluaran selain membuat permohonan bantuan modal serta mendapatkan baka puyuh dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bagi memenuhi permintaan di pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 4:03 PM