BURUNG puyuh dewasa hanya bersaiz tapak tangan dan begitu kecil.
BURUNG puyuh dewasa hanya bersaiz tapak tangan dan begitu kecil.
Nurul Husna Mahmud

KIRA-KIRA setahun lalu di China, terdapat kegilaan dalam kalangan rakyatnya memelihara ayam terkecil di dunia dikenali sebagai rutin.

Mana tidaknya, dikatakan 'obses' rakyat negara terbabit sehingga sanggup menghias reban ayam terkecil secantik-cantiknya dan diletakkan dalam bilik tidur.

Ayam rutin menjadi pilihan kerana saiznya 'comel' dan dihasilkan menerusi teknik kacukan dua jenis unggas iaitu burung puyuh (Blue-breasted quail) dan burung siung (Asian grey patridge).

Jika di Malaysia, aktiviti memelihara rutin mirip dengan kelompok peminat puyuh mini atau nama saintifiknya, Corturnix chinensis.

Menurut pembiak baka dan peminat puyuh mini, Fairuz Azmil Rosli, 33, puyuh mini yang mempunyai beberapa nama gelaran lain antaranya 'button quail,' puyuh mini Jepun dan burung pikau menjadi kegilaan kerana saiz dan warnanya.

"Berbanding dengan puyuh daging atau puyuh ikta (Corturnix japonica) diternak untuk daging dan telur, puyuh mini memiliki saiz dua atau tiga ganda lebih kecil. Puyuh ini sesuai dijadikan haiwan peliharaan.

RUPA puyuh mini.
RUPA puyuh mini.

"Satu lagi tarikan lain dimiliki puyuh mini adalah varian warnanya. Biasanya puyuh ini ada dua atau tiga rona warna sama ada putih, biru, keperang-perangan di bahagian leher.

"Warna puyuh mini unik antaranya varian kelabu, 'white came', coklat, 'blue maroon' dan 'tuxedo.' Tuxedo antara varian yang paling jarang ditemui walaupun varian sama daripada spesies itu 'dikahwinkan,' anak yang terhasil dari warna yang sama," katanya.

Fairuz Azmil berkata, penjagaan puyuh mini tidak jauh berbeza dengan puyuh ikta iaitu makanan daripada palet ternakan dan vitamin sebagai suplemen.

"Peminat puyuh tertarik untuk membiak baka kerana kepuasan apabila dapat hasilkan varian warna yang jarang atau susah hendak jumpa.

"Peringkat anak warnanya hampir sama dan sukar menentukan warna dewasa. Saya sendiri biasanya jual kepada peminat puyuh apabila berusia seminggu ke atas.

"Pada usia bawah seminggu, anak puyuh lebih mudah mati dalam perjalanan kerana panas dan sebagainya," katanya.

PERBANDINGAN antara saiz puyuh mini dan puyuh ikta.
PERBANDINGAN antara saiz puyuh mini dan puyuh ikta.

Akui Fairuz Azmil, pada awalnya dia memelihara puyuh ikta untuk menjana pendapatan apabila hilang pekerjaan ketika tempoh pandemik Covid-19.

"Saya sebenarnya pelihara puyuh ikta dahulu untuk pasaran daging kerana pekerjaan saya sebelum ini sebagai kru acara terjejas.

"Kemudian saya ambil keputusan menceburi bidang penternakan puyuh kerana mahu meneruskan kelangsungan hidup.

"Dari dagingnya, saya juga buat kajian dan mendapati ada puyuh peliharaan. Pemain dalam kelompok ini juga semakin berkembang.

"Ada permintaan peminat puyuh terbabit untuk mencari atau mendapatkan haiwan terbabit dipelihara," katanya.

Hayat puyuh mini adalah kira-kira satu tahun hingga dua tahun menyebabkan ada permintaan baik untuk pasaran pembiak baka.

FAIRUZ Azmil antara pembiak baka yang giat menghasilkan puyuh mini untuk memenuhi hobi peminat puyuh bangsawan.
FAIRUZ Azmil antara pembiak baka yang giat menghasilkan puyuh mini untuk memenuhi hobi peminat puyuh bangsawan.

"Bagi peminat unggas, mereka sentiasa mencari varian pelbagai untuk melengkapkan koleksi.

"Puyuh ini biasanya dilihat satu koleksi yang unik dan 'rare', tetapi penjagaan mudah tidak menelan belanja tinggi.

"Permulaan adalah 'one off' sediakan sangkar sesuai tidak terlalu besar dan ideal untuk dipelihara mereka memiliki ruang terhad.

"Selain itu, mereka boleh pegang dan melihat keletah unggas ini yang menarik untuk ditonton. Cuma kena hati-hati kerana puyuh mini lebih lincah dan boleh terbang untuk jarak pendek," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 7:00 AM