TERNAKAN ayam dan burung yang mati terbakar dalam kejadian Jalan Tanjung 1, Taman Nilam Tanjung, Simpang Ampat, Nibong Tebal. FOTO ihsan JBPM
TERNAKAN ayam dan burung yang mati terbakar dalam kejadian Jalan Tanjung 1, Taman Nilam Tanjung, Simpang Ampat, Nibong Tebal. FOTO ihsan JBPM
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Hampir 100 ekor ayam dan burung ditemukan rentung selepas sebuah reban kayu terbakar di Taman Nilam Tanjung, Simpang Ampat, di sini, hari ini.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Arifuddin Omar Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.33 petang berhubung insiden itu.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kawan dihantar ke lokasi bagi operasi pemadaman.

"Apabila tiba didapati sebuah reban kayu dengan keluasan 20 x 20 kaki persegi yang menempatkan pelbagai jenis ayam antaranya ayam kampung dan piru serta burung merpati dan puyuh mati terbakar.

"Disebabkan struktur reban diperbuat daripada kayu menyebabkan api cepat marak hingga memusnahkan hampir 95 peratus reban berkenaan.

"Siasatan awal di lokasi mendapati kebakaran itu dipercayai berpunca daripada dapur gas yang ditemui berdekatan dengan reban berkenaan," katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak dapat mengenal pasti sama ada terdapat orang menggunakan dapur gas itu kerana siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar.

Katanya, ternakan itu diusahakan secara suka-suka oleh seorang lelaki berusia 40-an di mana ayam dan burung itu dijual bagi menambah pendapatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 6:48 PM