Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Penternak burung puyuh kerugian sebanyak RM15,000 apabila lebih 5,000 ternakannya mati akibat ditenggelami banjir di Kampung Lati, di sini, baru-baru ini.

Muhammad Faizuddin Azman, 24, berkata ia adalah kejadian pertama dialaminya sejak mula mengusahakan ternakan burung puyuh itu.

"Saya tidak memindahkan kesemua burung puyuh kerana tidak menyangka banjir melanda sehingga memenuhi dalam kandang. "Malah, saya dimaklumkan air naik pada waktu awal pagi Isnin lalu, sebelum bergegas datang ke ladang sekitar 7.30 pagi hari yang sama.

"Sebaik tiba, saya hanya mampu beristighfar melihat sejumlah besar burung puyuh sudah mati bergelimpangan. Ia adalah suatu yang tidak dijangka, namun saya reda," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

MUHAMMAD Faizuddin menunjukkan gambar burung puyuh miliknya yang mati akibat ditenggelami banjir di Kampung Lati. FOTO Syaherah Mustafa
MUHAMMAD Faizuddin menunjukkan gambar burung puyuh miliknya yang mati akibat ditenggelami banjir di Kampung Lati. FOTO Syaherah Mustafa

Muhammad Faizuddin yang juga peserta bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) berkata, dia mengusahakan ladang ternakan itu kerana menjadi pembekal tunggal burung puyuh sejuk beku di daerah itu.

"Disebabkan kejadian ini juga, saya terpaksa menyembelih ribuan ekor burung pada hari yang sama untuk mengelakkannya daripada mati dan dibuang begitu sahaja.

"Selepas kejadian berkenaan, burung puyuh yang masih selamat dijaga rapi, tambahan pula cuaca masih tidak menentu di mana turut memberi impak kepada tumbesaran ternakan itu.

"Saya berharap tidak ada lagi bencana luar jangka sebegini, selain akan mengambil inisiatif lain bagi memastikan ternakan selamat jika banjir besar melanda lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 12:35 PM