BUNGA matahari turut menyerikan keindahan di Kundasang.
BUNGA matahari turut menyerikan keindahan di Kundasang.
Samadi Ahmad


Trend percutian secara 'glamping' semakin popular dalam kalangan pencinta alam di kaki Gunung Kinabalu, Kundasang, Sabah.

Suasana tenang, damai lagi menyegarkan dengan kehijauan alam semula jadi flora serta faunanya.

Selain pemandangan kampung yang menarik, cuaca dingin dan segar pada sebelah malam membuatkan ramai teruja serta lena dibuai mimpi.

Tambah mengujakan percutian di sini memberikan suasana berbeza apabila pengunjung dapat menyaksikan keindahan Gunung Kinabalu.

Pengalaman bermalam di Syameen's Homestay & Glamping, sebuah pusat inap desa berusia lima tahun di Kampung Cinta Mata, Kundasang.

Kedudukannya yang dibina atas bukit dan kira-kira dua kilometer dari pekan Kundasang memberi peluang kepada pengunjung menyaksikan keindahan daerah ini dan kampung itu dari balkoni inap desa itu.

Pemiliknya, Ismail Doll, 57, berkata, 'glamping' diusahakan sejak penghujung 2021 itu adalah kedua diperkenalkan di kawasan percutian itu selepas mendapat permintaan tinggi dari pelancong tempatan dan luar negara seperti Singapura, Brunei, Thailand, Indonesia, Itali dan Korea.

KEUNIKAN reka bentuk inap desa dan ‘glamping’.
KEUNIKAN reka bentuk inap desa dan ‘glamping’.

"Sesuai dengan konsep 'glamping', pengunjung tidak perlu bersusah payah mengangkut khemah sendiri dan segala kelengkapan lain.

"Sebaliknya pilih sahaja khemah yang disediakan bersesuaian mengikut cita rasa masing-masing, sama ada bercuti mahupun selepas pulang dari mendaki Gunung Kinabalu.

"Dari segi bajet harganya jauh lebih rendah cuma pengunjung perlu bersedia untuk sedikit mendaki kerana kedudukannya sedikit tinggi atas bukit," katanya.

Jika bernasib baik dan keadaan cuaca baik, pengunjung dapat menyaksikan keindahan Gunung Kinabalu secara jelas seawal 6.30 pagi hingga 10 pagi dari tapak 'glamping' yang cukup mesra dengan pengunjung sebelum diliputi kabus.

Secara peribadi ia pengalaman cukup menarik terutama bagi yang gemarkan suasana alam semula jadi.

SAUJANA indah Gunung Kinabalu yang membuatkan sesiapa saja pasti teruja.
SAUJANA indah Gunung Kinabalu yang membuatkan sesiapa saja pasti teruja.

Malah, ia ibarat satu kepuasan apabila dapat menyaksikan Gunung Kinabalu dengan suasana tenang dan dingin.

"Bagi yang gemar bergambar, pengunjung tidak akan kecewa kerana banyak 'spot' sedia menunggu untuk dimuat naik foto di akaun media sosial mengenai memori yang dirakam sepanjang berada di lokasi itu.

"Di sebelah malam pula, pengunjung boleh melakukan aktiviti barbeku dengan penyediaan peralatan membakar.

"Manakala bahan makanan dibawa sendiri pengunjung dengan suhu sejuk dan berkabus suasana paling ideal untuk mencari ketenangan selepas sibuk dengan hiruk-pikuk harian yang memenatkan," katanya.

Ismail berkata, konsep glamping di tapak inap desa itu disediakan berdasarkan penelitiannya di media sosial dan trend masa kini percutian yang lebih santai.

KEINDAHAN persekitaran serta panorama Gunung Kinabalu menjadi latar untuk setiap gambar yang dirakam.
KEINDAHAN persekitaran serta panorama Gunung Kinabalu menjadi latar untuk setiap gambar yang dirakam.

Sementara itu, bagi yang tidak gemar memasak usah risau kerana pekan Kundasang dikelilingi banyak kedai makan.

Selain pengalaman menginap di sini, pengunjung juga boleh mengisi masa dengan mengunjungi beberapa lokasi tarikan lain berdekatan kawasan ini seperti ladang lembu Desa Dairy Farm, pasar Kundasang, Memorial Perang Kundasang dan Taman Kinabalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 6:30 AM