PAK Aziz dan keluarga dengan penuh gaya tradisional di sebuah inap desanya.
PAK Aziz dan keluarga dengan penuh gaya tradisional di sebuah inap desanya.
Aizudin Saad


SEGALANYA mengimbau nostalgia ketika hidup di desa pada zaman kanak-kanak bersama datuk dan nenek apabila menjejakkan kaki di Suka Suka Lake Retreat ini. Ia sebuah inap desa berkonsepkan perkampungan dengan kehidupan bercirikan budaya Melayu tradisional di Lenggong, Perak.

Sebuah kawasan tanah persendirian di tepi Tasik Chenderoh, mempunyai sekitar 10 rumah kayu lama tersergam indah dengan keunikan seni bina asli Melayu Perak sebagai tarikan utama buat pengunjung untuk merasai budaya dan cara hidup orang Melayu tradisional.

Pengunjung diperkenal dan didedahkan cara hidup orang Melayu seperti memakai kain batik atau pelekat, merasai hidangan makanan Melayu tradisional, dibawa menjelajah sekitar kampung berhampiran serta digalakkan mencuba permainan tradisional seperti main congkak dan gasing.

Sebaik tiba, penulis disambut mesra seorang remaja lelaki, Azam Aziz, 19, yang berbahasa Melayu, tetapi pekat dengan 'slang' Inggeris.

Hamparan air tasik empangan yang luas adalah syurga buat pemancing. Pemilik turut menyediakan perahu kayak bagi penggemar aktiviti lasak untuk menerokai sekitar Tasik Chenderoh secara percuma.

Menurut pemiliknya, Aziz Abdul Manaf, 73, atau lebih mesra disapa Pak Aziz, inap desa itu kurang diketahui penduduk tempatan, tetapi terkenal dalam kalangan pengunjung luar negara terutama dari benua Amerika Utara dan Eropah.

Menariknya ketika waktu malam di inap desa itu penulis bersama rakan dikehendaki memakai kain pelekat atau batik yang disediakan.

Pak Aziz sekeluarga turut berpakaian Melayu tradisional dengan bertanjak turut serta ketika menikmati hidangan masakan Melayu tradisional bersama kami. Kami disajikan hidangan pajeri nanas, rendang ayam, ikan talapia masak serai, sambal udang petai, bayam tumis, pekasam ikan loma dan serawa timun betik yang dimasak isteri Pak Aziz, Asiah Mohd Ridzuan, 58.

MENGHIRUP kopi berlatarkan suasana desa.
MENGHIRUP kopi berlatarkan suasana desa.

Semua hidangan itu adalah tanaman sekitar inap desa yang ditanam secara organik. Bagi pengunjung luar negara, ia pengalaman baharu apabila mereka menikmati makanan orang kampung seperti makan sambil duduk bersila dan berkain pelekat (bagi lelaki), bersimpuh dan berkain batik (bagi wanita) serta makan dengan tangan.

Bagi Pak Aziz, kemesraan makan secara bersila lebih terjalin daripada makan di meja. Kemesraan terjalin apabila menghulur lauk-pauk antara satu sama lain. Kemesraan itu memupuk semangat komuniti daripada semangat dan sikap individu.

Uniknya, di inap desa itu juga terdapat satu fenomena berlaku setahun sekali. Bunga putat air atau nama saintifiknya, Barringtonia racemosa yang berwarna merah kembang mekar pada lewat petang bermula dari jam 6 petang dan luruh awal pagi.

Apabila bunganya yang luruh jatuh ke dalam tasik, bunga putat terapung dan permukaan air tasik diwarnai dengan bunga berwarna merah. Kejadian ini hanya berlaku pada tiga minggu sahaja pada Mei atau Jun. Pokok putat air mudah didapati sekitar Tasik Chenderoh.

SEGENAP sudut menawarkan keindahan dan ketenangan tersendiri.
SEGENAP sudut menawarkan keindahan dan ketenangan tersendiri.

Menceritakan latar belakangnya kongsi Pak Aziz, yang berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur itu mengambil keputusan berhenti kerja di sebuah syarikat teknologi maklumat terkemuka dunia dan ingin menetap di kawasan luar bandar sejak 28 tahun lalu.

Pada mulanya, beliau bersama isteri, Asiah, cuba mencari tempat tinggal baharu di kawasan kampung pesisir pantai di sekitar pantai timur, namun mereka berdua berasa tidak sesuai dengan kehidupan berhampiran laut.

Akhirnya, selepas menjelajah seluruh Semenanjung Malaysia, mereka membeli sebuah pulau di Tasik Chenderoh untuk memulakan kehidupan di luar bandar. Mereka hidup di dalam khemah dan perlahan-lahan membina sebuah chalet.

Seorang rakan dari luar negara hadir melawat pulau itu dan secara tidak langsung rakannya itu mula menyebarkan kewujudan kediaman Pak Aziz dari mulut ke mulut. Bermula dari situ, wujud sebuah inap desa untuk pengunjung tinggal dengan merasai kehidupan alam semula jadi.

DEKORASI tradisional di sebuah inap desa.
DEKORASI tradisional di sebuah inap desa.

Ketika Azam berusia 11 tahun, pasangan suami isteri itu membeli pula sebidang tanah di sebuah kawasan tepi tasik dan mula berhijrah bagi memudahkan anaknya itu meneruskan sesi persekolahan tanpa perlu berulang-alik menaiki bot dari pulau milik mereka sejauh dua kilometer.

Apabila Pak Aziz mempunyai sebuah bidang tanah yang luas, beliau membeli sebuah rumah kayu lama pertama dari Parit untuk dijadikan kediaman dan penginapan bagi pengunjung yang hadir.

Lama-kelamaan, beliau membeli lagi beberapa rumah kayu lama yang dibina sekitar 1930-an dari sekitar kawasan Perak seperti dari Selama, Padang Rengas, Lenggong, Kati, Sayong, Sauk dan Parit untuk dijadikan koleksi bagi memulihara warisan seni bina rumah Melayu Perak asli.

Rumah Kutai yang dibeli dari Kati, adalah koleksi rumah kayu lama yang berharga buat beliau. Ini kerana rumah itu dibina pada lewat 1890-an yang masih mengekalkan seni bina tradisi Melayu berdiri teguh sehingga ke hari ini.

BERSANTAI di Tasik Chenderoh.
BERSANTAI di Tasik Chenderoh.

Beliau turut mempelajari cara membuka dan memasang semula rumah kayu lama daripada tukang kayu tempatan dan kos setiap rumah kayu lama yang dibeli bernilai RM60,000 termasuk upah pengangkutan, membuka dan memasang semula. Ia mengambil masa kira-kira empat bulan untuk dibina semula bagi sebuah rumah kayu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 7:00 AM