PENGARUH budaya masyarakat Orang Asli suku Temuan di setiap elemen inap desa.
PENGARUH budaya masyarakat Orang Asli suku Temuan di setiap elemen inap desa.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


BAGI menghargai keunikan warisan dan budaya masyarakat Orang Asli di negara ini, pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, Epic bekerjasama dengan perusahaan sosial, Native Discovery dan syarikat sains global, 3M untuk membangunkan 'Umah Temuan.'

Ia dilaksanakan untuk memperkasakan masyarakat Orang Asli di Kampung Serendah, Selangor dengan peluang ekonomi lestari, sekali gus memanfaatkan keunikan budaya sedia ada.

Perkampungan berkenaan terletak di kawasan hutan hijau berlatarkan sungai yang mendamaikan di Hulu Selangor.

Inisiatif itu menyokong masyarakat Orang Asli suku Temuan dalam usaha menjana pendapatan menerusi aktiviti pelancongan berasaskan komuniti.

Memandangkan ramai yang menghadapi masalah kewangan akibat penularan pandemik Covid-19 dan inisiatif itu diharapkan mampu merangsang ekonomi masyarakat tempatan.

Selain itu, ia juga dapat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai keunikan dan keistimewaan budaya serta tradisi masyarakat Orang Asli suku Temuan.

Ketua Pegawai Eksekutif Epic, John Son Oei berkata, terdapat pelbagai pengalaman menarik ditawarkan masyarakat Kampung Orang Asli Temuan di Serendah daripada segi budaya dan pengalaman.

Oleh itu, pihaknya mengadakan inisiatif membina inap desa untuk merangsang ekonomi penduduk tempatan selain mempromosikan budaya masyarakat berkenaan.

DILENGKAPI pelbagai kemudahan untuk keselesaan.
DILENGKAPI pelbagai kemudahan untuk keselesaan.

Ia diharap dapat menjadi sebuah ekosistem yang mampu bertahan sendiri.

Kata John, pihaknya ingin memastikan tradisi suku Temuan akan sentiasa dipelihara dengan menerapkan pengaruh budaya mereka ke dalam setiap elemen seni bina inap desa terbabit.

"Rekaan bumbung berbentuk tirus daripada atap bertam dan panel dinding anyaman buluh yang didapati dari kawasan sekitar misalnya digunakan bagi memupuk pemahaman dan penghargaan terhadap budaya serta warisan Orang Asli.

"Kami percaya bahawa usaha untuk membina sebuah dunia yang baik adalah tanggungjawab bersama.

UMAH Temuan dibangunkan bagi menghargai keunikan warisan dan budaya masyarakat Orang Asli di negara ini.
UMAH Temuan dibangunkan bagi menghargai keunikan warisan dan budaya masyarakat Orang Asli di negara ini.

"Justeru, dengan gabungan geran AS$50,000 (RM199,000) daripada 3Mgives, kepakaran Native dan kemahiran masyarakat Temuan yang tidak ternilai, kami berazam untuk menjadikan 'Umah Temuan' yang bermaksud 'Rumah Temuan' dalam bahasa tradisional Temuan sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, inap desa berkenaan turut dilengkapi perabot dan ia boleh diakses pelancong asing mahupun pengunjung tempatan sebagai sebahagian daripada pengalaman pertukaran budaya.

Untuk sementara, dua unit rumah disediakan iaitu Umah Temuan Buluh dan Umah Temuan Bertam, masing-masing dilengkapi elektrik, tandas serta air panas.

Pihak Native turut menyediakan pelbagai aktiviti dan acara menarik bagi membolehkan warga bandar lari daripada kesibukan kota serta mendalami gaya hidup suku Temuan.

REKAAN unik Umah Temuan.
REKAAN unik Umah Temuan.

Tetamu inap desa itu juga boleh melakukan pelbagai aktiviti menarik seperti meredah hutan, mandi-manda di air terjun dan mempelajari kemahiran tradisional seperti menganyam daun bertam untuk dijadikan atap atau mengikuti kelas memasak masakan Orang Asli yang diajar masyarakat kampung berkenaan.

Pengasas Native Discovery, Daniel Teoh berkata, pihaknya gembira kerana dapat bekerjasama dengan Epic dan 3M memandangkan mereka berkongsi matlamat serta komitmen yang sama iaitu untuk meningkatkan ekonomi masyarakat Orang Asli dan mempamerkan budaya mereka kepada orang ramai.

"Suku Temuan di Kampung Serendah kaya dengan budaya dan kemahiran yang tidak ternilai, apabila kami percaya rakyat Malaysia boleh mempelajari banyak perkara daripadanya.

"Terdapat sesuatu untuk setiap orang di sini, daripada aktiviti meredah hutan hinggalah kelas membuat sambal yang menarik, projek itu diharap dapat membantu masyarakat untuk menyelami budaya masyarakat Orang Asli di negara kita," katanya.

SUKARELAWAN bergotong-royong membina inap desa, Umah Temuan.
SUKARELAWAN bergotong-royong membina inap desa, Umah Temuan.

Sementara itu, kampung berkenaan terletak kira-kira 40 kilometer dari Kuala Lumpur dan menempatkan kira-kira 600 Orang Asli Temuan iaitu suku Orang Asli terbesar di Selangor.

Kawasan di sekitarnya terkenal dengan Air Terjun Serendah yang boleh diakses melalui kampung berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 6:30 AM