Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Permintaan terhadap penginapan pelancongan jenis inap desa di Pulau Pinang didapati melonjak ketika musim cuti sekolah.

Selain makan angin dan menghadiri majlis perkahwinan saudara mara, kedatangan pelancong ke negeri itu juga adalah kerana musim durian termasuk ingin menikmati juadah nasi kandar.

Berikutan itu, keadaan trafik di beberapa jalan sesak hingga tempahan terhadap sektor perhotelan meningkat, termasuk inap desa terutama yang terletak di kawasan perkampungan turut mendapat jumlah tetamu yang memberangsangkan.

Keadaan itu ada yang menyebabkan segelintir pengusaha inap desa terpaksa menolak tempahan berikutan tidak mampu menyediakan penginapan memandangkan bilangan tetamu yang terlalu ramai.

Siti Khairiah Md Yatim,57 yang mengelolakan 21 inap desa di bawahnya dengan bantuan suaminya, Roslan Talib, 58 di Kota Aur, Penaga, di sini memaklumkan permintaan terhadap inap desa begitu memberangsangkan apabila ia meningkat mendadak.

"Seperti di sini (Kota Aur) saya rasa permintaan meningkat 200 peratus.

"Pada ketika ini (cuti sekolah) semua inap desa yang dikelolakan saya habis ditempah bahkan saya juga terpaksa menolak tempahan kerana tidak mampu menyediakan penginapan yang terlalu ramai," katanya ketika ditemui di inap desa kendaliannya, di sini, semalam.

INAP Desa Kota Aur yang berlatarbelakangkan suasana kampung mendapat banyak tempahan. FOTO Nur Izzati Mohamad
INAP Desa Kota Aur yang berlatarbelakangkan suasana kampung mendapat banyak tempahan. FOTO Nur Izzati Mohamad

Mengulas lanjut, Siti Khairiah berkata, permintaan yang tinggi itu amat melegakan dirinya selepas dua tahun perniagaan inap desa merudum ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Syukur sangat kita sudah kembali semula seperti masa sebelum PKP yang pada masa sama meningkatkan semula pendapatan pengusaha inap desa yang terdiri daripada orang kampung.

"Jika tidak sebelum ini ramai yang tanya bila dapat mulakan semula perniagaan seperti biasa dan kini mereka sudah tarik nafas lega," katanya yang turut bersiap sedia menunggu kedatangan pengunjung dari luar negara pada tahun hadapan.

Menurutnya, inap desa yang diusahakannya bersama suami sebelum itu memang khusus untuk pelancong luar negara namun disebabkan pandemik ia terhenti.

"Bagaimanapun kita sudah dihubungi ejen yang pernah bekerjasama dengan kita dan tiada aral melintang pada tahun depan kita akan menerima semula kunjungan mereka yang mana pelbagai aktiviti menarik menanti," katanya.

Bagi pengunjung Nurhayati Mukhlas,50, berkata dia bersama keluarganya dari Sepang, Selangor memilih untuk menginap di inap desa kerana mahu suasana yang damai.

"Saya datang untuk hadir kenduri ahli keluarga namun pada masa sama ingin meneroka tempat menarik di Pulau Pinang kerana ini adalah kali pertama saya datang ke negeri ini.

"Banyak hotel sudah penuh, jadi melalui pencarian di Internet saya membawa kami ke kampung yang sangat indah ini dan paling menarik semua kemudahan yang disediakan inap desa di sini sangat terbaik," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Inap Desa Pulau Pinang, Rohaizad Othman berkata, beliau dimaklumkan beberapa inap desa di daerah Seberang Perai Utara dan Barat Daya hampir penuh ditempah ketika cuti sekolah.

"Paling banyak ditempah adalah inap desa yang berlatarbelakangkan suasana kampung.

"Selain bercuti, musim raja buah juga antara faktor ramai yang datang memanfaatkan cuti mereka bersama keluarga di negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2022 @ 1:21 PM