PONDOK rehat terbuka berhampiran dengan sungai.
PONDOK rehat terbuka berhampiran dengan sungai.
Nurul Husna Mahmud

Kali pertama mengetahui kewujudan destinasi Jaya Gunung Homestay daripada perkongsian kenalan dan juga aktivis kemanusiaan Yayasan Khalifah, Azhar Mohamed tahun lalu menerusi laman Facebooknya mengenai tapak perkhemahan baharu itu.

Terpaku dengan gambar memaparkan air sungai mengalir jernih selain dikelilingi tumbuh-tumbuhan hijau menjadikan lokasi itu antara tempat 'persembunyian' paling tenang jauh daripada hiruk-pikuk kota.

Pengunjung Jaya Gunung Homestay boleh membiasakan diri dengan gaya kehidupan sederhana masyarakat orang Asal Semai apabila bermalam di pondok yang dibina daripada sumber hutan sepanjang jeram berkenaan.

Untuk sampai ke lokasi ini, sebaiknya menggunakan kenderaan sesuai kerana akses dari jalan utama iaitu dari Sungai Koyan-Kuala Lipis, berikutnya adalah menyusuri trek 'offroad' sejauh 20 kilometer.

Kebiasaannya pada 'musim kering' perjalanan mengambil masa sekitar dua jam bagaimanapun tempohnya lebih panjang menjelang musim hujan iaitu kira-kira tiga hingga empat jam bergantung kepada pemanduan.

Menarik mengenai destinasi percutian eksotik itu adalah pembinaan beberapa unit inap desa hasil usaha penduduk tempatan yang dikenali sebagai Pak Hassim.

KEMAS hasil kerja pertukangan.
KEMAS hasil kerja pertukangan.

Kata Pak Hassim, sebelum ini orang luar terpaksa tidur berselerak atau menumpang teduh di surau dan kawasan lapang dirasakan sesuai. Namun itu tidak memberi keselesaan apabila ada antaranya datang bersama keluarga.

"Saya mula dengan pembinaan tandas untuk keperluan dan diikuti pondok rehat. Apabila orang luar semakin kerap dan ramai masuk, saya mula buat pondok lengkap dengan katil dan tilam untuk mereka berehat.

"Dulu ramai masuk buat program bersama masyarakat Orang Asli tetapi mereka kena dirikan khemah atau menumpang di dewan atau masjid. Saya lihat itu satu peluang untuk wujudkan kawasan rekreasi yang sesuai bagi mereka dirikan khemah dan berkumpul.

TERDAPAT tanaman bunga di sekitar inap desa terbabit.
TERDAPAT tanaman bunga di sekitar inap desa terbabit.

"Makin lama ramai yang masuk melakukan aktiviti kelab atau hari keluarga termasuk 'geng' pacuan empat roda dan motosikal singgah. Jadi pada saya selain bantu berikan kemudahan selesa, orang kampung boleh jana pendapatan atau ada pekerjaan menerusi pembinaan inap desa ini," katanya.

Menariknya meskipun tanpa sebarang kemudahan seperti kipas, tempat tidur itu masih selesa dan cukup dingin ketika menjelang awal pagi.

Panorama paling 'mahal' di lokasi itu yang juga dikenali sebagai Lata Senlui Kuala Lipis Pahang itu dalam kalangan penduduk tempatan ialah ketika awal pagi dan senja.

AIR sungai jernih satu tarikan di sini.
AIR sungai jernih satu tarikan di sini.

Tidak perlu bimbang, persinggahan itu turut memiliki kemudahan lampu menerangi ketika malam memudahkan pengunjung yang mahu menggunakan tandas.

Selain mandi-manda dan bersantai, bagi yang gemar aktiviti pendakian, mereka boleh menyusuri trek berhampiran ke kampung Orang Asli berhampiran untuk menikmati pemandangan lebih menarik dari tempat tinggi.

Lokasi inap desa itu begitu strategik kerana kedudukannya berhampiran dengan dua pos lain seperti Pos Betau dan Pos Titom menyebabkan ia sering menjadi perhatian kumpulan sukarelawan yang kerap keluar masuk ke kawasan terbabit.

AKTIVITI kayak antara boleh dicuba pengunjung.
AKTIVITI kayak antara boleh dicuba pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 6:42 AM