Dadah dipercayai syabu yang dirampas daripada seorang penganggur di Kampung Bakau, Lahad Datu semalam. Foto Ihsan PDRM
Dadah dipercayai syabu yang dirampas daripada seorang penganggur di Kampung Bakau, Lahad Datu semalam. Foto Ihsan PDRM
Juwan Riduan

Lahad Datu: Penganggur ditahan polis selepas didapati menjalankan aktiviti pengedaran dadah di Kampung Bakau di sini, semalam.

Lelaki itu ditahan pada 12.45 tengah hari dlaam Op Tapis yang dijalankan sepasukan polis pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, pihaknya mengenal pasti lelaki berusia 52 tahun yang menjalankan aktiviti pengedaran dadah jenis syabu di sekitar kampung atas air berkenaan.

"Ketika ditahan, polis turut merampas satu bungkusan plastik hitam yang mengandungi tiga paket plastik berisi ketulan hablur disyaki syabu.

"Dadah yang dirampas seberat 152.55 gram dan dianggarkan bernilai RM22,882.50 berdasarkan harga pasaran semasa," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rohan berkata, hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapatinya positif dadah jenis metaphetamine.

Katanya, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 8:04 PM