Zatul Iffah Zolkiply


Jerteh: Kedatangan musim tengkujuh ibarat igauan ngeri buat peniaga di Kampung Pekan Sari di sini apabila kedai makan dan rumah mereka dinaiki air akibat bencana alam itu.

Noriah Mohd Nor, 55, yang mengusahakan perniagaan kedai makan sejak 12 tahun lalu perlu menanggung kerugian di antara RM2,000 hingga RM6,000 setiap kali banjir berlaku.

Lebih memeritkan apabila banjir yang berlaku mungkin berulang sekurang-kurangnya tiga kali pada musim tengkujuh.

Noriah berkata, kedai dan rumahnya yang terletak berhampiran sungai dinaiki air setiap kali musim tengkujuh.

"Memang kawasan ini akan banjir setiap tahun cuma bezanya ada yang teruk ada yang biasa.

"Namun banjir yang paling teruk berlaku pada 2016 apabila kedai dan rumah dinaiki air sedalam dua meter sehingga menyebabkan saya kerugian hampir RM6,000 apabila pelbagai barangan seperti sofa, almari dan sebagainya rosak," katanya.

NORIAH ketika mengemas kedai makan miliknya di Kampung Pekan Sari. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
NORIAH ketika mengemas kedai makan miliknya di Kampung Pekan Sari. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

Noriah berkata, mereka sekeluarga memang sudah biasa dengan banjir namun ada kalanya air naik terlalu cepat menyebabkan mereka tidak sempat berbuat apa-apa.

"Biasanya apabila tiba musim banjir, memang saya tidak akan berniaga dan hanya membuka kembali kedai pada tahun depan apabila banjir benar-benar pulih.

"Perniagaan memang terjejas setiap kali musim tengkujuh menyebabkan kami sekeluarga terpaksa mencari alternatif lain seperti menjual pakaian bagi menampung perbelanjaan.

"Memang perit kerana perlu menghadapi benda sama setiap tahun namun apa yang berlalu adalah ketentuanNya," katanya.

Sebelum ini, Noriah bersama enam ahli keluarganya termasuk cucunya yang berusia 11 bulan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) pada Khamis lalu selepas kedainya dinaiki air.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 1:37 PM