Zatul Iffah Zolkiply


Setiu: Banjir luar jangka yang melanda daerah ini pada Ahad lalu membuatkan penduduk yang terjejas di Kampung Buloh di sini menanggung kerugian puluhan ribu ringgit akibat banjir.

Walaupun rumah didiami mereka tidak dihanyutkan air bah tetapi barangan yang berada di dalam rumah rosak.

Rasa pilu dan sedih jelas terpancar pada wajah beberapa penduduk yang menjadi mangsa apabila mengenangkan kediaman mereka.

Penduduk, Nor Rihan Alias, 38, menyifatkan banjir yang melanda pada Ahad lalu antara yang terburuk dialaminya apabila rumahnya ditenggelami air sehingga menyebabkan barangan yang ada rosak.

"Banjir memang selalu melanda kawasan ini setiap kali musim tengkujuh tetapi tidaklah seteruk kali ini.

"Air memang naik cepat sangat pada Ahad lalu dan dalam sekelip mata rumah dan gerai jualan yang berada di hadapan rumah ditenggelami air separas bumbung (melebihi satu meter).

"Pada hari kejadian, saya bersama tiga anak tak sempat bawa pakaian kerana ketika itu air sudah hampir satu meter selain aliran air juga sangat laju menyebabkan kami segera keluar kira-kira jam 1.30 tengah hari (Ahad).

"Memang sedih lihat keadaan rumah sebab tak sangka akan seteruk ini kerana sebelum ini walaupun rumah dinaiki air, barangan yang ada masih ada dan tidak berubah kedudukan," katanya.

Seorang lagi mangsa banjir, Mohd Midi Mohammad, 29, turut meluahkan rasa sedih melihat keadaan di dalam rumah selepas ditenggelami air selama dua hari.

Katanya, walaupun persiapan sudah dilakukan termasuk memindakan barangan ke tempat yang tinggi namun banjir luar jangka yang melanda kali ini menenggelamkan rumah mereka.

"Banjir memang biasa di sini dan biasanya paras air paling tinggi di dalam rumah hanya mencecah kira-kira 0.3 meter tetapi kali ini, ia melebihi satu meter.

"Walaupun kami sudah letak barang di tempat yang tinggi tetapi ia tetap ditenggelami air," katanya yang juga seorang petani.

Kesedihan sama turut diluahkan Mohd Khairul Anuar Abd Rahman, 43, yang melihat keadaan rumahnya dipenuhi sampah sarap dan lumpur.

"Memang persiapan sudah dibuat tetapi banjir kali ini luar biasa dan kami sendiri tak sangka ia boleh seteruk ini walaupun sudah acap kali menjadi mangsa banjir.

"Perit memang perit tetapi kami reda dengan ketentuan Allah SWT," katanya.

ANAK kepada Nor Rihan iaitu Mohd Harith Fitri Mohd Raishan menunjukkan kesan paras air banjir di rumahnya. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
ANAK kepada Nor Rihan iaitu Mohd Harith Fitri Mohd Raishan menunjukkan kesan paras air banjir di rumahnya. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2022 @ 12:49 PM