Hutan Simpan Bukit Enggang.
Hutan Simpan Bukit Enggang.
Noorazura Abdul Rahman


Sik: Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) berharap kajian menyeluruh mengenai kesan terhadap alam semula jadi dan kepelbagaian biologi dilakukan sebelum sumber mineral di Hutan Simpan Bukit Enggang, di sini, diteroka.

Presidennya Profesor Dr Ahmad Ismail berkata, kajian itu turut perlu mengambil kira kesan jangka pendek dan panjang daripada segi sosial, ekonomi dan kelestarian terhadap penduduk.

"Kita perlu kaji dulu dalam semua aspek jati diri, sumber semula jadi, perlindungan dan pemuliharaan alam semulajadi, kepelbagaian biologi, kesan kepada alam sekitar dan kesihatan manusia.

"Malah, rakyat juga harus diberi kefahaman mengenai kaedah mendapatkan mineral jenis rare earth elements (REE) yang saya difahamkan akan menggunakan teknologi terbaik," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Besar Muhamamd Sanusi Md Nor bahawa kerajaan negeri meluluskan permit kepada sebuah syarikat tempatan untuk meneroka mineral di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik dianggarkan bernilai RM62 billion.

Ahmad berkata, pihaknya percaya ramai aktivis alam sekitar dan alam semula jadi gelisah dengan perkara itu, terutama pihak yang mahukan kompleks Hutan Ulu Muda menjadi taman negeri.

Katanya, Hutan Ulu Muda perlu dikekalkan bagi menjamin bekalan air di utara semenanjung yang selama ini membekalkan 40 peratus bekalan padi negara selain untuk kegunaan domestik dan industri termasuk pelancongan.

"Penerangan yang lebih mendalam perlu untuk mengurangkan kegelisahan mereka. Saya yang juga Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) mencadangkan agar kerajaan negeri dan pihak berkaitan merujuk akademi berkenaan. Ini kerana kajian unsur nadir bumi ada dibuat oleh ASM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 4:47 PM