Dr Noor Hisham.
Dr Noor Hisham.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti empat lagi kluster baharu Covid-19, hari ini membabitkan Sabah, Kuala Lumpur, Selangor dan Kelantan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster terbabit adalah Kluster Tapak Bina Sungai Mulia, Kluster Batu Lima, Kluster Yayasan dan Kluster Hilir.

Menurutnya, Kluster Tapak Bina Sungai Mulia membabitkan daerah Titiwangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di mana kes-kes awal dalam kluster itu dilaporkan positif Covid-19, hari ini hasil saringan tempat kerja di sebuah tapak pembinaan dengan 23 kes dikesan positif.

"Kluster Batu Lima pula membabitkan daerah Kota Kinabalu, Sabah di mana kes indeks (iaitu kes ke-50,994) dilaporkan positif Covid-19 pada 19 November lalu hasil saringan individu bergejala dengan 49 kes dikesan positif setakat ini.

"Kluster Yayasan membabitkan daerah Klang di Selangor di mana kes indeks (iaitu kes ke-52,340) dilaporkan positif Covid-19 pada 20 November lalu hasil saringan individu bergejala dengan 21 kes dikesan positif setakat ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Hilir pula membabitkan daerah Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh di Kelantan di mana kes indeks (iaitu kes ke-58,845) dilaporkan positif Covid-19 pada 24 November lalu hasil saringan individu bergejala dengan 21 kes dikesan positif Covid-19, setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 7:09 PM