Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Siasatan polis mendapati suspek meminta wang sebelum menetak lelaki warga emas sehingga maut dalam rompakan di Bangsar di sini, hari ini.

Pesara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Wan Hassan Wan Embong, 71, meninggal dunia di lokasi selepas ditetak di muka dan leher manakala isterinya, Sarifah Yusof, 70, cedera serta menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Ketua Polis Daerah Brickfields, Assisten Komisioner Anuar Omar berkata, polis menerima panggilan daripada seorang wanita yang juga anak mangsa pada 4.01 pagi.

"Menurut isteri, mangsa terdengar bunyi bising di bahagian dapur rumah kira-kira 3.30 pagi.

"Dua lelaki tidak bertopeng dan berparang meminta duit. Mangsa cuba melawan dan seterusnya ditetak. Isteri mangsa turut ditetak di bahagian bahu kanan.

"Suspek kemudian mengambil barang-barang berharga, namun belum dapat dipastikan. Suspek melarikan diri melalui tingkap dapur," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan:

  • Maut ditetak perompak
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 10:59 AM